Home Berita PAS Kelantan

Kelantan Go Digital melahirkan masyarakat tanpa tunai – Menteri Tenaga dan Sumber Asli

183
SHARE

KOTA BHARU, 21 Oktober: Kelantan Go Digital adalah merangkumi pelbagai program yang telah disusun oleh pihak kerajaan negeri melalui agensi pembangunan ICT negeri iaitu Kelantan ICT Gateway bagi memberi kesedaran dan meningkatkan pengetahuan masyarakat negeri ini dalam usaha melahirkan masyarakat tanpa tunai atau “cashless society”, masyarakat yang celik digital, berilmu dan berpengetahuan dalam semua aspek berkaitan ICT, digital dan teknologi Ir 4.0.

Demikian menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Dato’ Seri Takiyuddin Hassan ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kelantan Go Digital Karnival Go Digital MPUK di Dataran Warisan, Perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, semalam.

Katanya, antara program yang dilaksanakan melalui Kelantan Go Digital ialah siri jelajah Go Digital ke seluruh Kelantan.
“Tumpuan kempen ialah bagi membolehkan masyarakat dan usahawan terutama peniaga-peniaga menggunakan transaksi tanpa tunai dalam urusan perniagaan.

Bagi menjayakan usaha ini, kerjasama pelbagai pihak terutama agensi kerajaan negeri dan pusat amat penting serta merangkumi penglibatan pelbagai pihak iaitu rakyat, komuniti setempat dan sektor perniagaan,” katanya.

Tambahnya, program Kelantan Go Digital kali ini akan mensasarkan usahawan dan peniaga di Medan Usahawan, peniaga di Stadium, usahawan yang menyertai karnival usahawan PKINK dan peniaga Bazar Tok Guru bagi tujuan onboarding duitnow Qr dan pendaftaran terminal bayaran tanpa tunai secara percuma.

“Program ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk menggalakkan rakyat beralih kepada transaksi tanpa tunai mulai tahun 2022 terutamanya dalam urusan pembayaran perkhidmatan kerajaan. Kaedah ini akan mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai pada masa hadapan dan menggalakkan penggunaan kad debit dan e-dompet di kalangan rakyat Kelantan,” katanya.

Pada majlis tersebut, YB Dato’ Seri Takiyuddin turut menyaksikan Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Penyediaan E-Wallet Kelantan Pay antara Pengarah Eksekutif KIGSB, Nasriff Daud dengan Pengarah Eksekutif Intact Media, Rishi Ross.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab. Rahman, Timbalan Exco Pendidikan, YB Ustaz Azhar Salleh, Timbalan Exco Usahawan yang juga Pengerusi MPUK, YB Saiful Adli Abu Bakar, Ketua-ketua jabatan dan para usahawan.