Home Berita PAS Kelantan

Kelantan banyak destinasi tumpuan pelancong – YB Exco Pelancongan

198
SHARE

KOTA BHARU, 29 Nov: Negeri Kelantan mempunyai banyak destinasi menarik yang menjadi tumpuan pelancomg dari dalam dan luar negeri.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, YB Mejar (B) Dato’ Md. Anizam Ab Rahman ketika menjawab soalan bertulis daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, YB Rozi Muhamad pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Kelima Dewan Negeri Kelantan Ke-14, hari ini.

Katanya, lokasi kebudayaan dan warisan khususnya di sekitar Kota Bharu menjadi tumpuan utama pelancong seperti Muzium Negeri, Muzium Perang, Muzium Kraftangan, Istana Jaha dan Istana Batu.

“Pameran khas juga turut mendapat sambutan seperti Pameran Koleksi Keris Tiga Tokoh Negeri Kelantan, Pameran dan Pertandingan Seni Khat, Pameran Koleksi Seni Tanah dan Bekas Wangian, Pameran dan Festival Makanan, Pameran Mata Wang Lama Jom Beli Emas, Pameran Lukisan Kartun Keselamatan Jalan Raya dan Pameran Hari Muzium Khas Peringkat Kebangsaan.
Masjid Muhammadi yang merupakan salah satu masjid tertua di Kelantan turut dikunjungi selain Masjid Baijing, Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra dan Masjid Rahman di Gua Musang,” jelasnya.
Tambahnya, bagi pelancong bukan Islam pula boleh berkunjung ke wat Buddha dan tokong Cina yang berada di Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Gua Musang.

“Bagi yang berminat membeli belah Kampung Kraftangan, Pasar Buluh Kubu, Pasar Besar Siti Khadijah, Pusat Bebas Cukai Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang, Wakaf Che Yeh dan Laman Warisan Kampung Laut turut menjadi pilihan.

Restoran atau kopitiam yang menjual nasi berlauk, nasi ulam, nasi kerabu dan ayam percik sentiasa menjadi pilihan utama untuk menjamu selera.

Selain itu, Pengkalan Datu dan Pantai Suri juga antara destinasi pelancongan yang semakin mendapat perhatian pelancong,” katanya.

Selain itu katanya, Train To Dabong merupakan destinasi pelancongan terbaharu yang semakin maju dan berpotensi besar untuk industri pelancongan.