Home Berita PAS Kelantan

Kelantan akan atasi masalah air di HRPZ II

884
SHARE

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mengatasi masalah air yang berlaku di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob, berkata masalah air itu akan diselesaikan memandangkan ia satu keperluan kepada pesakit.

Menurut beliau, pihaknya akan minta Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membuat pemeriksaan di hospital itu bagi mengetahui punca yang berlaku.

“Kita akan mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah air di sini, apa lagi air menjadi keperluan utama setiap orang apa lagi pesakit,” ujarnya selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 150 pesakit di hospital itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir. Hadir sama, anggota-anggota exco kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika mengulas aduan daripada Pengarah HRPZ II, Datin Dr Selasawati Ghazali berhubung masalah air di beberapa wad di hospital terbabit.

Menurutnya, masalah sering berlaku terutama wad bersalin dan wad kanak-kanak yang tidak mampu menampung jumlah pesakit setiap hari.

Ahmad berkata, kerajaan negeri mengambil berat aduan itu yang akan cuba diselesaikan secepat mungkin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utilitinegeri, Azami Mohd Nor, ketika ditemui memberitahu beliau akan berbincang dengan AKSB seberapa segera.

Katanya, untuk tindakan pertama ini beliau akan bertemu Pengurus Besar AKSB, Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail untuk berbincang perkara itu.

“Insya Allah kita akan mengambil tindakan terhadap masaalah seberapa segera,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/6/2018