Home Berita PAS Kelantan

Kekalkan perpaduan elakkan isu sensitif

180
SHARE

TUMPAT, 29 Jan: Perpaduan kaum yang terjalin kukuh sejak sekian lama di Kelantan hendaklah dikekalkan dengan tidak membangkitkan isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti sesuatu kaum.

Demikian menurut Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 Peringkat DUN Wakaf Bharu yang diadakan di perkarangan rumah mantan Penghulu Tanpa Mukim Kampung Paya Pasir, semalam.

“Keamanan dan keharmonian yang kita nikmati sekarang ini besar ertinya dan kita hendaklah sama-sama bertanggungjawab untuk memeliharanya,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan.

Program dengan kerjasama Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN) itu dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, cabutan bertuah dan jamuan gulai kawah.

Dalam majlis tersebut, 20 warga emas dan semua kanak-kanak yang hadir menerima ang pau .

Turut berucap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, YB Mohd Rusli Abdullah yang mengesa semua kaum di negeri ini khususnya supaya sentiasa meningkatkan perpaduan dan kerjasama melalui aktiviti dan program yang membabitkan semua kaum.

Turut hadir, Ketua Polis Tumpat, ACP Amran Dollah, Pegawai Khas Menteri Besar, Lau Chin Chua, Pengerusi DHPP Kelantan, Lim Guan Seng, Penggawa Kanan Wakaf Bharu, Sabari Rashid, Penghulu Mukim dan Tanpa Mukim.