Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 26 Julai : Kehadiran pemimpin UMNO dan Bersatu ke majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Masjid Tanah yang berlangsung di Auditorium kompleks Falak Al Khawarizmi di sini sebentar tadi membuktikan kesepakatan Perikatan Nasional (PN) semakin mantap di kawasan parlimen ini.
Ketiga-tiga tokoh penting PN Masjid Tanah iaitu Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abd Rahman, Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, YB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin duduk bersama-sama di atas pentas auditorium semasa majlis perasmian ini berlangsung.
Abdul Rauf juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka dan juga Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka sementara Mas Ermieyati juga adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi.