Home Berita PAS Kedah

Kedah tidak benar lesen judi diperbaharui, hadkan penjualan arak.

182
SHARE

Oleh AMAL NABILA

ALOR SETAR, 14 Nov – Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak lagi akan memberi kelulusan memperbaharui lesen perjudian di semua PBT di seluruh negeri Kedah.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan mengambil tanggungjawab ini untuk memastikan Kedah menjadi negeri bebas perjudian.

“Kita sedia maklum dan diakui oleh semua pihak bahawa perjudian adalah punca kepada banyak kerosakan dan keruntuhan tamadun khususnya institusi kekeluargaan.

“Ramai orang yang terlibat dengan perjudian ini akan dibelit hutang dan menimbulkan masalah dalam kalangan keluarga serta memporak-perandakan masyarakat kita,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Yang Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri Kali Ke-14 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan juga membuat keputusan untuk menghadkan penjualan minuman keras secara terbuka kepada semua pengguna bukan Islam di semua PBT.

“Di kawasan PBT yang tidak ada permintaan khususnya PBT di luar bandar. Penjualan minuman keras di premis-premis juga akan dihadkan.

“Kita juga telah berbincang berkenaan kedai bebas cukai di Langkawi yang dibenarkan penjualan arak dan premis lain yang tidak mempunyai lesen, kita harap premis tersebut tidak lagi menjual arak secara terbuka bagi untuk menjamin akal fikiran rakyat sentiasa waras,” kata beliau.