Home Berita PAS Kedah

Kedah tawar 2 ribu rumah mampu milik untuk B40

1776
SHARE

ALOR SETAR, 5 JAN – Sejumlah 2,000 unit rumah mampu milik ditawarkan untuk rakyat negeri Kedah khusus kepada golongan B40.

Projek yang bakal dibangunkan di Daerah Kubang Pasu ini akan dibina oleh Syarikat B&B land.

Menerusi iklan yang dikeluarkan oleh B&B land, satu Majlis Pelancaran Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujanan dan Pelan Induk Bandar Darulaman 3.0 akan diadakan pada Khamis minggu depan yang akan bertempat di Darulaman Park, bandar Darul Aman Jitra, Kedah.

Majlis akan dilancarkan sendiri oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

Tawaran ini sudah pasti menggembirakan rakyat khususnya golongan B40 yang mengidamkan untuk memiliki rumah idaman mereka sendiri.

Dalam satu kenyataan Ogos yang lepas, YAB Menteri Besar Kedah menyatakan bahawa aspek perumahan rakyat akan dijadikan keutamaan dengan pelaksanaan pembangunan dan perancangan yang komprehensif bagi memenuhi keperluan golongan B40 dalam masa 10 tahun .

“Keprihatinan kerajaan bukan hanya cakap-cakap kosong tetapi ianya akan direalisasikan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di mana kerajaan merangka perancangan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun bermula 2018 hingga 2028 yang akan dilaksanakan oleh agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta pihak swasta bagi manfaat golongan B40,” Kata YAB Menteri Besar dalam kenyatan akhbar Sinar Harian.

Dengan adanya projek mega yang memberi manfaat kepada golongan B40 ini bersesuaian dengan slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat untuk Semua” dan hasrat YAB Menteri Besar untuk memenuhi keperluan golongan B40.