Home Berita PAS Kedah

Kedah mohon RM30 juta bina Maahad Tahfiz Teknikal

25
SHARE

Oleh AMAL NABILA

ALOR SETAR, 28 Okt – Kerajaan negeri memohon peruntukan RM30 juta bagi pembinaan Maahad Tahfiz Sains Teknikal dalam Bajet 2022.

Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, maahad ini akan menggabungkan elemen tahfiz, sains dan teknikal bagi mengembalikan kecemerlangan pendidikan agama di Kedah.

“Kita (kerajaan negeri) minta RM30 juta untuk pembinaan Maahad Tahfiz Sains Teknikal yang kita umumkan dulu nak buat di daerah Sik.

“Kita ada Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Kulim yang permintaan terlalu tinggi jadi kita perlukan satu lagi maahad tahfiz sains tetapi kita tambah satu lagi mata pelajaran teknikal jadi kita namakan Maahad Tahfiz Sains Teknikal,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Dalam pada itu, Haji Sanusi berkata, kerajaan negeri turut memohon RM100 juta bagi mengekalkan kawasan Hutan Simpan, sumber air dan menjaga kelestarian alam sekitar.

“Peruntukan ini merujuk kepada simpanan Hutan Simpan berjumlah 341 ribu hektar termasuk 107 ribu hektar yang kita gazet sebagai kawasan tadahan di Ulu Muda dan selebihnya kita gazet sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal dan Hutan Simpan,” jelas beliau.