Home Berita PAS Johor

Kebajikan Kasih Maharani – Kongsi rezeki warga terkesan pandemik Covid 19

58
SHARE

Oleh : Sharifah Ajil

MUAR, 6 Julai : Dengan meledaknya pandemik Covid 19 yang melanda negara sejak setahun lebih yang lalu, ramai yang terjejas sumber pendapatan kerana ekonomi yang semakin merudum, dipotong gaji atau dibuang kerja.

Antara usaha bagi menangani masalah yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat yang terkesan, pihak Pertubuhan Kasih Maharani telah mengambil inisiatif bertemu mereka membantu dengan pemberian sumbangan untuk mengurangkan beban yang dihadapi.

Menurut penaung pertubuhan, Abd Aziz Talib, sumbangan yang diberikan berupa wang tunai, barang keperluan dapur, makanan, minuman, pampers dan susu bayi.

“Program yang dilaksanakan bermula sejak awal Jun lalu masih diteruskan hingga kini, kerana mendapat permintaan yang semakin banyak dari golongan yang terjejas ini.

“Sehingga hari ini, sebanyak 250 set sumbangan telah kami serahkan kepada penerima setakat ini” menurut beliau ketika ditemui Wartawan Rakyat Johor.

Tambah beliau, penerima sumbangan yang terdiri daripada pelbagai bangsa merupakan penduduk yang tinggal dalam Parlimen Muar, di Dun Maharani dan Dun Sungai Balang.

Menurut Abd Aziz, program sumbangan yang diuruskan oleh pihak Kasih Maharani ini mendapat sokongan dari pelbagai pihak dan individu, yang membantu dengan pemberian kewangan atau barangan, selain orang ramai antaranya daripada Khidmat Malaysia, Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Negeri Johor dan juga LKK Muslimat PAS Pusat.

“Diharapkan dengan sumbangan yang diterima lebih banyak dapat membantu mereka yang terjejas pendapatan khususnya golongan B40” kata beliau.

Pertubuhan Kasih Maharani membuka peluang mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai yang ingin berinfak bagi membantu mereka yang menghadapi beban tekanan ekonomi ini.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Agro Bank Pertubuhan Kasih Maharani di nombor akaun bank 1005 9020 0000 2290. Atau terus tekan ke link http://toyyibpay.com/Kongsi_Rezeki_Kasih_Maharani.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Ustaz Ridzuan (01110594865) atau Ustazah Nurul (0192748070).