KUALA LUMPUR, 18 Oktober: Persiden Persatuan Keturunan India Kelantan Se-Malaysia (SOKMO) N. Dorairaj mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Kelantan atas kejayaan memerintah Kelantan selama 32 tahun dengan harmoni.
Beliau berterima kasih kepada Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob kerana amat menitik berat tentang hak dan kebajikan pelbagai kaum minoriti khasnya kaum India Kelantan tidak kira di mana mereka berada.
“Kita dijaga dengan begitu baik di Kelantan dan di perantauan.
Demi mengenang jasa baik Kerajaan Kelantan saya dan majoriti anak India di Kelantan dan di perantauan bersepakat menyokong penuh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya selepas menghadiri Majlis Kebersamaan Warga Perantau Kelantan bersama YAB Menteri Besar di Wisma Perantau, semalam.
Program anjuran Unit Hubungan Seranta, Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN) itu dirasmikan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob dengan kehadiran lebih 200 perantau dan NGO di Lembah Klang.
Beliau juga bertekad untuk memperjuangkan “PAS For All” dengan menyeru semua kaum India di perantauan untuk balik menunaikan tanggungjawab pada PRU15 demi masa depan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.