Home Berita PAS Kelantan

Kaum Cina Kelantan boleh bersajak, berpantun, baca jawi

127
SHARE

KOTA BHARU, 5 Dis: “Tok nenek saya dulu belajar tulis Jawi dan mereka boleh membaca tulisan Jawi,” kata Cheng Po Chen atau ‘nama Melayunya’ Husin.

Menurut lelaki Tionghua dari Pulai Chondong itu kebanyakan peranakan Cina Kelantan juga boleh berpuisi, bersajak dan berpantun sebagaimana orang Melayu.

“Jika ditanya tentang makanan pula, Cina Kelantan, tak sama dengan Cina lain di luar sana kerana makanan Cina Peranakan Kelantan mirip menu masakan Melayu kampung.

Budu jadi perkara wajib dalam menu makanan seharian. Kadang-kadang tiga atau empat kali sehari makan dengan budu,” katanya menerusi rakaman video yang dikeluarkan oleh Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA).

Berkenaan dengan sambutan perayaan pula, katanya Kerajaan Negeri sentiasa membuat sambutan Hari Tanglong, sambutan Tahun Baharu Cina sama seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa sebarang perbezaan.

“Kami kaum Cina sangat faham dengan orang Melayu. Kebiasaanya kami tidak buat sebarang sambutan pada hari Jumaat atau malam Jumaat kerana menghormati hari tersebut,” ujarnya.

Selain itu, katanya berkenaan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dibawa oleh Kerajaan Kelantan tiada masalah bagi kaum lain, kerana Kerajaan Negeri sentiasa membantu tanpa mengira kaum.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak melarang kaum bukan Islam untuk ambil minuman keras, cuma tidak dibenarkan minum di tempat terbuka, sama seperti amalan keagamaan, Kelantan membenarkan agama lain berkembang dengan harmoni, setiap kaum boleh melakukan amalan agama masing-masing tanpa menimbulkan isu-isu yang sensitif.

“Hubungan masyarakat antara kaum di Kelantan kuat kerana pada zaman dulu, masa orang Islam bina Masjid Ismaili di Kampung Joh, orang Cina kampung turut membantu menaikkan tiang masjid tersebut,” katanya.