Home Berita PAS Kedah

Katil wakaf PKWR Tg Dawai penuhi harapan penduduk yang uzur dan terlantar

67
SHARE

MERBOK – Sebuah keluarga menzahirkan penghargaan setelah menerima katil wakaf daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Tanjong Dawai di kediaman mereka di Kampung Kasa, Merbok, Sabtu lalu.

Menjadi keresahan mereka apabila salah seorang ahli keluarga warga emas, Mohamad bin Ariffin (74 tahun) terlantar akibat angin ahmar yang memerlukan penjagaan khusus.

Justeru, bantuan katil wakaf yang disumbangkan oleh pihak PKWR itu telah meringankan bebanan mereka sekeluarga.

ADUN Tg. Dawai, YB Ustaz Hanif Ghazali berkata, katil wakaf adalah bantuan yang paling bermanfaat dan berguna berikutan permintaannya yang tinggi.

“Katil wakaf merupakan antara bantuan yang banyak dimohon oleh masyarakat. Sehingga hari ini, tidak kurang daripada 30 buah katil wakaf telah dihantar ke rumah-rumah pesakit yang memerlukan.

“Walaubagaimanapun, perkhidmatan katil ini adalah terhad mengikut jumlah katil yang tersedia dan hanya pesakit yang terlantar akan diberi keutamaan,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa PKWR turut berjaya mengagihkan sebanyak 50 kerusi roda kepada penduduk yang lumpuh atau tidak boleh berjalan.

“Insya-Allah, pihak PKWR berhasrat untuk menambah bilangan katil wakaf, kerusi roda, serta kelengkapan-kelengkapan perubatan lain bagi memenuhi harapan penduduk yang uzur,” tegasnya lagi.