Home Artikel PAS Sarawak

KARNIVAL KESIHATAN RUMAH PANJANG

121 views
SHARE

Sibuti, 9 Disember 2017 – Karnival Kesihatan Rumah Panjang anjuran Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) berjaya mengeratkan hubungan penduduk rumah panjang dan petugas Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak.

Pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan seperti taklimat kesihatan, pembentangan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), pemeriksaan kesihatan umum, pertandingan gubahan buah dan anyaman mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Rumah Bulin yang hadir.

Pengarah program Puan Rohaya berkata, acara yang diadakan dapat mengeratkan silaturahim dan mendekatkan PAS dengan masyarakat.

“Terima kasih kepada Tuai Rumah, Encik Bulin kerana sudi menerima kehadiran PAS ke Ulu Saeh. Perjalanan yang sangat mencabar tidak mematahkan semangat petugas PAS untuk berjumpa dengan masyarakat di sini.

Diharapkan dengan kehadiran kami ini bukan sahaja untuk beramah mesra dengan peduduk di sini tetapi dapat menyampaikan hasrat serta masalah yang dihadapi oleh penduduk Rumah Bulin kepada pihak berkuasa,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Diakhir majlis, satu perbincangan tertutup telah diadakan diantara wakil penduduk Rumah Bulin dengan wakil ahli Majlis Tindakan Dun (MTD) Bekenu bagi membincangkan isu pemilikan tanah yang telah berlarutan sekian lama di kawasan tersebut.

“Kami telah kemukakan empat surat kepada wakil Ketua Menteri dan pelbagai dialog telah dianjurkan. Malangnya nasib hak tanah di kawasan ini masih tiada penyelesaian,” luah wakil Rumah Bulin di dalam sesi temu ramah yang dijalankan semalam.

Mereka mendesak agar masalah pemilikan Tanah Hak Adat Bumiputera di kawasan Ulu Saeh mendapat perhatian pihak berkuasa agar nasib kaum mereka lebih terbela.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Haji Jofri bin Jaraiee.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Sarawak, Haji Khairul bin Ismail, Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Sarawak (DHPP), Encik Acau Ak Mujah, dan Yang DiPertua (YDP) PAS Kawasan Sibuti, Encik Butir bin Bakar.