Home Berita PAS Negeri Sembilan

Kampung Poum, Jelebu musnah dilanda banjir: JAM Cawangan Negeri Sembilan bantu mangsa

215
SHARE

Oleh : RUSILAH MD SOM

JELEBU, 26 DISEMBER: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Sembilan membantu mangsa banjir membersihkan rumah penduduk di Kampung Poum, Kenaboi yang musnah dilanda banjir, di sini, semalam.

Banjir teruk yang melanda Kampung Poum pada 18 Disember yang lalu telah mengakibatkan hampir 200 penduduk Kampung Poum dekat sini terkandas dan tiada sebarang akses bantuan dapat diberikan susulan air Sungai Kenaboi yang naik tinggi hingga ke paras dada pada tarikh tersebut.

Timbalan Pengarah JAM Cawangan Rembau, Abdul Rahman Muhamad telah mengetuai misi bantuan banjir di kampung tersebut seramai 10 orang kekuatan petugas dan sempat membersihkan 4 buah rumah mangsa banjir.

Menurut Abdul Rahman, kerja membersih agak sukar dijalankan kerana lumpur yang terlalu tebal, bekalan air paip yang terlalu kecil serta ketiadaan bekalan elektrik di mana hanya “water jet” yang menggunakan kuasa minyak petrol.

Menurut salah seorang petugas muslimat PAS Kawasan Rembau, Suzila Sabeh yang turut serta dalam misi pembersihan di kampung tersebut berkata, ” Memang benar-benar sedih dan terharu saya melihat kemusnahan semua barangan isi rumah mangsa yang dibantu.”

Suzila sempat menzahirkan rasa simpati kepada mangsa dan memberi sedikit motivasi buat mereka agar bersabar dengan ujian dari Allah ini.

Di samping misi pembersihan, JAM turut menyampaikan sumbangan keperluan yang diperlukan mangsa seperti air mineral, barang keperluan dapur, barangan keperluan kanak-kanak, barangan keperluan kebersihan diri dan sebagainya.