Home Minda Presiden

Kalau PAS dibeli RM90 juta oleh UMNO?

219
SHARE

Minda Presiden PAS
KALAU PAS DIBELI RM90 JUTA OLEH UMNO?


Terlebih dahulu kita pohonkan perlindungan Allah SWT daripada syaitan yang dilaknat. Hal ini disebabkan oleh sabda Rasulullah SAW:

الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ، خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ، وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ، احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ، ‌وَاسْتَعِنْ ‌بِاللهِ ‌وَلَا ‌تَعْجَزْ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ، فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ: قَدَّرَ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ.

“Orang  beriman yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang beriman yang lemah, sedangkan setiap orang daripadanya ada kebaikan (kerana imannya). Usahakan apa yang memberikan manfaat kepadamu dan mintalah pertolongan Allah tanpa bersikap lemah. Apabila kamu ditimpa dengan suatu musibah, maka janganlah berkata: Jika aku lakukan begitu, maka tidaklah jadi begini atau begitu. Akan tetapi, ucapkanlah; ‘Ini takdir Allah, apa yang dikehendaki-Nya pasti Dia lakukan.’ Kerana perkataan kalau boleh membuka kerja syaitan.(Riwayat Muslim 2664)

PAS mentarbiah ahlinya agar membina kekuatan diri dengan iman atau aqidah yang lebih lengkap daripada sekadar berintegriti sepertimana yang diuar-uarkan oleh pihak yang lain. Kekuatan diri yang berkonsepkan iman akan menyebabkan seseorang itu bersedia untuk mengorbankan harta dan jiwa raganya sendiri.

Hal ini sekali gus menjadikannya tidak bergantung kepada apa jua sogokan, khususnya sumbangan yang menjatuhkan maruah diri, sama ada dalam politik atau urusan lain.

Selain itu, PAS juga mendidik ahlinya bahawa haram menerima sogokan yang bercirikan rasuah, atau menjual aqidah perjuangan kerana tiada keberkatannya. Tanpa keberkatan, maka tidak akan diperoleh pertolongan Allah SWT yang menjadi harapan yang sebenar.

Oleh itu, sesiapa yang cuba membawa amalan politik wang dalam pemilihan PAS pasti akan ditolak apabila niatnya bersama hanyalah semata-mata kerana harta dan jawatan. Malah, mereka juga akhirnya akan keluar sendiri daripada PAS. Hal ini berlaku disebabkan PAS menghayati firman Allah SWT:

﴿لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ٤٢﴾

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu. Akan tetapi, tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: ‘Jikalau kami sanggup, tentulah kami berangkat bersama-samamu.’ Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.” (Surah al-Tawbah: 42)

Keadaan yang dinyatakan dalam ayat di atas menyebabkan ramai kalangan mereka yang menyamar berada dalam PAS, atau menjadikan PAS laksana rumah tumpangan semata-mata. Mereka tidak menjadikan Islam sebagai aqidah perjuangannya, pasti akan keluar daripada PAS atau gugur dalam perjalanannya.

Namun, ahli PAS sentiasa bertambah berlipat kali ganda walau pemimpinnya silih berganti,  tidak kurang dengan sebab ada yang telah meninggal dunia dalam perjuangan. Malah, ada yang keluar PAS kerana tidak sabar dan lari kerana perjalanan yang dirasakan jauh daripada kemenangan di dunia ini. Inilah hikmah perjuangan Islam yang berteraskan aqidah bukan ideologi.

PAS terus mengajak UMNO kepada konsep perpaduan umat mengikut Islam, bukan hanya melibatkan PAS dan UMNO sahaja. Tanpa perpaduan, maka PAS tidak akan berganjak melawan semua pihak termasuklah UMNO. Inilah sejarah perjalanan PAS dalam arena politik.

Sekiranya PAS benar-benar mempunyai sejumlah duit, sudah pasti PAS tidak akan membocorkannya walaupun sedikit. Maka, sekiranya ada sumbangan sebanyak RM90 juta itu, sudah pasti akan dibelanjakan dengan sempurna dan takkan disia-siakan. Bahkan, jika dilaburkan, maka pusingannya sudah menjadi lebih daripada RM900 juta.

Sebelum dengar kisah dongeng kononnya PAS mendapat RM90 juta, memadai dengan jumlah duit sumbangan ahli PAS yang majoritinya tidak kaya, hanya sedikit sahaja orang berada yang menyumbang kepada PAS, malah itu pun tidak sampai jumlahnya sejuta ringgit.

Ramai dalam kalangan yang kaya tidak bersedia untuk menyumbang kerana mereka tidak percaya bahawa PAS boleh menang sehingga berjaya memerintah Kerajaan Pusat.

Namun, PAS boleh bertanding dalam pilihan raya hasil derma ahlinya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dan kebanyakannya bertanding di kawasan UMNO. Tiba-tiba, PAS mampu menawan tiga buah negeri dan berada dalam Kerajaan Pusat dengan langkah mengajak UMNO, BERSATU dan pihak-pihak lain bersama menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang rapuh.

Justeru, dengan RM90 juta jika benar adanya, sudah pasti membolehkan PAS menguasai negara sepenuhnya. Dan jika benar, UMNO yang menyogok RM90 juta sangat bodoh kerana melakukan suatu perkara yang boleh membunuh dirinya sendiri, sehingga menjatuhkan kerajaannya di negeri yang tidak kuat PH dan UMNO berada dalam keadaan lebih kuat.

Dengan RM90 juta kalau benar-benar ada, pasti PAS juga lebih mudah meranapkan PH yang banyak duit perbelanjaan untuk media sosial bagi menyebarkan pembohongan dengan meluas tanpa aqidah dan ideologi kerana kepelbagaian anutan ahlinya. PAS juga tidak mampu mengadakan media sosial bagi menjawabnya kerana terlalu mahal, apatah lagi untuk menyiarkan fitnah, menipu dan berbohong besar. Balanya tidak mampu dibayar dosanya dengan duit berkali ganda RM90 juta.

Ahli-ahli PAS yang sebenar mengetahui betapa pengorbanannya kerana menegakkan Islam itu memerlukan sumbangan ikhlas dan duit yang halal lagi berkat. Manakala, wakil rakyat PAS pula diwajibkan membuat potongan wang untuk diserahkan kepada partinya.

Semua lapisan ahli PAS memberikan sumbangan sehingga mereka yang termiskin daripada kalangan petani, nelayan dan buruh kasar menyumbang dengan penuh keikhlasan. Bahkan, ada ahli PAS yang menjual tanah dan sebagainya kerana ingin membantu bayaran deposit calon yang bertanding di kawasannya disebabkan calonnya tidak berduit.

Ramai jentera PAS bekerja secara sukarela. Parti  yang pernah bekerjasama dengan PAS pasti dapat menyaksikan sendiri dengan benar tanpa berbohong. Bahkan, kadang-kadang PAS terpaksa membayar hutang rakan yang meninggalkan pakatannya dan keluar meninggalkan PAS selepas pilihan raya.

Ahli PAS berlumba-lumba memberikan sumbangan kerana mereka percayakan firman Allah SWT:

﴿مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ٢٦١﴾

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah adalah laksana sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai itu terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah itu Maha Luas (kurniaan-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 261)

PAS mempunyai lebih sejuta ahli, 197 kawasan daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara, ribuan cawangan, ribuan markas, ribuan sekolah PASTI, sekolah rendah, sebilangan sekolah menengah dan beberapa pusat pengajian tinggi, kumpulan kerja kebajikan serta kakitangannya sepanjang masa menelan perbelanjaannya melebihi RM90 juta. Perkara itu dihadapi sebelum lagi diterima berita fitnah RM90 juta  yang telah dibuat kenyataan tiada buktinya oleh SPRM dan PAS terus membuka pintu kepada SPRM kerana mahu membersihkan partinya daripada cara haram.

Namun, PAS tetap percaya akan mendapat ganjaran pahala secara percuma dengan segala fitnah dan kemarahan terhadapnya. Hal ini demikian kerana, ahli PAS percaya kepada kelebihan perjuangan Islam yang menjadi tugas PAS, serta janji Allah SWT yang diyakini dan diimani. Hal ini disebutkan melalui firman Allah SWT:

﴿…ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ لَا يُصِيبُهُمۡ ظَمَأٞ وَلَا نَصَبٞ وَلَا مَخۡمَصَةٞ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَطَ‍ُٔونَ مَوۡطِئٗا يَغِيظُ ٱلۡكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنۡ عَدُوّٖ نَّيۡلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِۦ عَمَلٞ صَٰلِحٌۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ١٢٠ وَلَا يُنفِقُونَ نَفَقَةٗ صَغِيرَةٗ وَلَا كَبِيرَةٗ وَلَا يَقۡطَعُونَ وَادِيًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمۡ لِيَجۡزِيَهُمُ ٱللَّهُ أَحۡسَنَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ١٢١﴾

“…Demikian itu disebabkan tidaklah mereka ditimpa dengan kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang menentang (yang bermusuh), dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskan bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya, Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik. (120); Dan mereka tiada menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak (pula) nafkah yang besar serta tidak melintasi suatu lembah, melainkan dituliskan bagi mereka (amal soleh pula) kerana Allah akan memberikan balasan kepada mereka yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan. (121)” (Surah al-Tawbah: 120-121)

Walau apa jua tuduhan yang dilemparkan, ahli dan pemimpin PAS tetap percaya kepada pahala yang dijanjikan Allah SWT kerana aqidah perjuangan yang menjadi pegangannya. Tidak seperti mereka yang berideologi bukan beraqidah, atau mereka yang meletakan aqidah menjadi hiasan luarnya sahaja tanpa peduli soal pahala dan dosa.

Pendukung perjuangan Islam seperti PAS tidak menjual perjuangannya dengan harga RM90 juta atau pangkat dan kedudukan semata-mata. Terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat kenyataan terbuka bahawa PAS tidak meminta jawatan dalam kerajaan sepertimana parti lain, tetapi menerima apa sahaja bentuk tanggungjawab mahupun jawatan yang diamanahkan.

PAS merupakan kesinambungan perjuangan Islam yang bertali arus berjuang, sebagaimana yang dijanjikan wujudnya kumpulan sepertinya oleh Allah SWT selagi dunia belum kiamat. Rasulullah SAW bersabda:

‌لَا يَزَالُ مِنْ أُمَّتِي ‌أُمَّةٌ ‌قَائِمَةٌ ‌بِأَمْرِ ‌اللَّهِ، ‌لَا ‌يَضُرُّهُمْ ‌مَنْ ‌خَذَلَهُمْ، ‌وَلَا ‌مَنْ ‌خَالَفَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ.

“Masih ada terus-menerus (bertali arus) kumpulan daripada umatku (kumpulan Islam) yang bangun menegakkan perintah Allah (memperjuangkan Islam). Mereka tidak boleh dimudaratkan oleh sesiapa yang mengecewakannya dan menentangnya, sehingga datangnya keputusan Allah (sama ada menang atau mati sebelumnya). Namun, mereka tetap berada tanpa berganjak.” (Riwayat Muslim 3641)

PAS mentarbiah ahlinya agar memenuhi ciri-ciri kumpulan Islam yang telah dinyatakan oleh Allah SWT, sehinggakan mereka terpaksa menghadapi pelbagai ujian. Antara ciri-ciri kumpulan adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾

“Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam yang sempurna), menyuruh berbuat yang ma‘ruf dan mencegah daripada berbuat yang mungkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran: 104)

Allah SWT menceritakan berkenaan wasiat Luqman kepada anaknya melalui firman-Nya:

﴿يَٰبُنَيَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ١٧﴾

“Wahai anakku! Dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan perkara yang ma‘ruf dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa ke atasmu. Sesungguhnya, perkara yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).”  (Surah Luqman: 17)

PAS memilih untuk melaksanakan tugas nahi munkar pada tahap imannya yang paling kuat sehingga berjaya mencapai kuasa menjadi kerajaan, atau dengan lisan dan tulisan. Bukannya memilih keadaan yang paling lemah apabila sekadar memendam rasa tanpa bersuara atau menjadi syaitan bisu, walaupun PAS terpaksa menghadapi pelbagai kepayahan dalam perjalanannya dan mengalami kesukaran hidup.

Sabda Rasulullah SAW:

 ‌مَنْ ‌رَأَى ‌مِنْكُمْ ‌مُنْكَرًا ‌فَلْيُغَيِّرْهُ ‌بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ.

“Sesiapa dalam kalangan kalian melihat kemungkaran (berlaku di hadapannya dengan nyata) hendaklah mengubahnya dengan tangannya (kuasa); dan jika tidak mampu, maka (mencegah) dengan lidahnya; dan jika tidak mampu, maka hendaklah membenci dalam hatinya, itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim 49)

PAS berusaha untuk mendapatkan kuasa bagi mencegah kemungkaran dengan tangan dan sekurang-kurangnya dengan lidah. Maka, ahli PAS  yang setia dan beraqidah tidak boleh dipotong lidahnya atau ditutup mulutnya oleh UMNO dengan fitnah RM90 juta. Mereka yang memilih untuk tutup mulut pasti akan meninggalkan PAS, atau keluar sendiri menyertai jalan yang mudah menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran sehingga melompat laksana kera yang melihat pokok yang banyak buahnya.

PAS tidak berganjak walaupun kerajaannya di Kelantan telah dinafikan hak royalti petroleum dan berbilion ringgit dirompak di Terengganu, PAS tetap tidak tunduk dan menyerah kalah. Maka, terlalu murah harganya kalau mahu membeli PAS dengan bayaran RM90 juta.

PAS sangatlah berbeza dengan jenis parti upahan dan pemimpinnya yang berbudi kepada pihak yang memberikan sumbangan kepadanya supaya menjadi alat atau dipergunakan. Sehingga mereka sanggup menjual maruah agama, bangsa dan negara.

Malah, terdapat parti yang pragmatik yang menjadikan kaedah matlamat menghalalkan cara untuk mendapatkan kemenangan mudah dan kuasa yang rakus. Parti tersebut menerima sesiapa sahaja menjadi ahli, termasuklah kalangan yang liberal dan ateis.

Dalam pada itu, mereka juga menerima apa sahaja sogokan daripada dalam negara dan luar negara, sehingga tiada maruah dengan menunjukkan dendam terhadap lawannya, dan tiada kewarasan dalam tindakannya apabila diuji dengan kemenangan. Sehinggakan, dendamnya terhadap lawan mengatasi kewarasan dan kebijaksanaan.

PAS terus berpolitik secara matang dan sejahtera menuju ke arah matlamat perjuangannya tanpa peduli terhadap apa jua fitnah dan tuduhan, laksana musafir yang meneruskan perjalanan ke destinasinya tanpa peduli anjing dan serigala yang menyalak di kiri mahupun di kanan perjalanannya.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) adalah mengikut petunjuk Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang menjadi ikutan dan teladan dengan perintah-Nya:

﴿وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ٣٤ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ٣٥ وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٣٦﴾

“Dan tidaklah sama antara kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang berada antaramu dan antaranya ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. (34); Sifat-sifat yang baik itu tidak ditemui melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar. (35); Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (36)” (Surah Fussilat: 34-36)

Percayalah bahawa PAS bukanlah parti balas dendam apabila memperoleh kemenangan, walaupun paling banyak dizalimi dalam perjalanannya.

PAS terus mengikut jejak langkah Rasulullah SAW yang diperintahkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١٢٥ وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّٰبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧﴾

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik; dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (125); Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan ke atasmu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126); Bersabarlah (wahai Muhammad)! Dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kejahatan  mereka) dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. (127)” (Surah al-Nahl: 125-127) 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 1 Rabi‘ al-Awwal 1444 / 27 September 2022