Home Artikel PAS Melaka

Kak Lah saran petugas kesihatan lindungi diri dengan selawat

476
SHARE

Oleh SITI SALWANI MOHD KASSIM

HANG TUAH JAYA, 21 Mac : Para petugas kesihatan perlu sentiasa melindungi diri sendiri sebelum bertugas melindungi masyarakat dengan amalan berselawat dan memaafkan kesalahan orang lain supaya mampu melalui cabaran tugas dengan lebih tenang, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Di dalam ucapan ringkasnya Siti Zailah menyentuh kelebihan petugas kesihatan yang mampu meraih pahala di samping beroleh gaji.

“Dan pahala itu sebenarnya lebih besar (nilainya), tahan lama (berbanding duit) sampai ke akhirat,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi-2 Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat menzahirkan simpati dan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bekerja bersungguh-sungguh dari pagi sehingga malam sehingga ada yang kurang rehat, tidur dan waktu makan yang tidak menentu serta mengorbankan kepentingan diri demi rakyat.

“Allah sahaja yang mampu membalas. Semoga semua frontliner diberi kekuatan untuk terus berbakti kepada masyarakat,” doanya.

Siti Zailah juga berterima kasih kepada NGO yang sentiasa prihatin dan membantu menyediakan makanan untuk barisan hadapan sebagai penghargaan.

“Sikap ini yang kita harapkan, sebab menjaga kebajikan adalah tanggungjawab semua, bukan terletak pada satu-satu agensi,” katanya.

Demikian nasihat yang diberikan Siti Zailah ketika menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas pemberi vaksin (vaksinator) di Hospital Melaka, di sini, kelmarin.

Sumbangan makanan berupa pek sarapan dan makanan tengahari sumbangan daripada dua NGO iaitu Persatuan Amal Barakah Malaysia dan Pertubuhan Peduli Buruh Wanita Malaysia (PEDULI).

Sementara itu Pengerusi Persatuan Amal Barakah Malaysia, Hawa Yaakub yang turut serta di majlis penyerahan makanan ini berkata pemberian kecil ini adalah sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan petugas vaksin yang tidak putus asa memberi nasihat vaksinasi walaupun terdapat usaha menakutkan masyarakat oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Semoga dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini dapat menguatkan semangat juang para petugas barisan hadapan ini,” ujarnya.

Bagi Pengerusi PEDULI, Kintan Man pula, PEDULI yang mengetengahkan slogan ‘Pekerja Berintergriti, Produktiviti Berkualiti’ amat menghargai semua perkhidmatan samada kerajaan ataupun swasta bagi menjaga kebajikan masyarakat.

“Dunia ditimpa musibah dengan pandemik Covid-19. Malaysia tidak terkecuali. Langkah Malaysia untuk menyuntik vaksin sebagai menangani penularan wabak ini adalah satu usaha yang telah dikaji dari segi saintifik dan harus sifatnya dari segi hukum agama.

“Justeru PEDULI menyatakan penghargaan di atas segala usaha untuk kemanfaatan dan kelangsungan hidup yang sihat serta kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan,” katanya dalam majlis yang sama.