Home Berita PAS Kedah

Kaji tambah Hakim Mahkamah Syariah

214
SHARE

Oleh ISKANDAR ZULKARNAIN

ALOR SETAR, 22 Nov – Proses menambah Hakim Mahkamah Syariah di negeri ini sedang dikaji bagi mengurangkan kadar kes yang tertangguh di samping mempercepatkan perbicaraan.

Exco Agama Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Brigadier Jeneral (B), Dato’ Najmi Ahmad berkata,

cadangan itu ditimbulkan  sebagai penyelesaian jangka pendek ke arah mengurangkan kes tertunggak atau tertangguh.

Beliau berkata semua pihak perlu juga melihat  penangguhan kes bukan sahaja disebabkan pihak pentadbiran mahkamah.

“Tetapi ia juga berpunca daripada komitmen  mereka orang- terlibat, umpamanya kes penceraian.

“Kadang-kadang kita panggil untuk perbicaraan tetapi satu pihak tak datang, jadi tak dapat nak teruskan kes itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Aman hari ini.

Terdahulu, Mohd Azam dalam sesi soalan lisan bertanya langkah penyelesaian bagi kes yang mengambil masa lama  akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Tambah beliau, sebelum PKP, kes-kes di Mahkamah Syariah turut mengambil masa lama untuk diselesaikan.