Home Berita PAS Kedah

Kaji kewajaran eksport ketum ke Thailand

231
SHARE

ALOR SETAR – Kerajaan persekutuan perlu mengkaji kewajaran eksport daun ketum dari Malaysia ke Thailand untuk diproses bagi tujuan kesihatan.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata agensi penguatkuasa telah memberi begitu banyak masa, komitmen dan sumber tenaga untuk membanteras penyeludupan daun ketum.

“Saya mencadangkan kepada agensi-agensi penguatkuasa untuk membenarkan proses mengeksport daun ketum secara sah dengan peraturan yang sesuai.

“Kedah adalah tanah yang paling sesuai untuk pertumbuhan dan pembesaran spesies ketum paling baik bagi perubatan yang sedang diusahakan di negara jiran (Thailand),” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bersedia melantik mana-mana anak syarikat kerajaan untuk menjadi ejen tunggal di Kedah supaya kita dapat mengumpulkan komoditi ketum ini dan menjadi pengeksport secara sah dan kerajaan boleh mendapatkan cukai.

“Kedah boleh menjadi ‘One Stop Centre’ untuk pengumpulan kepada komoditi ini. Jadi proses untuk mengesahkan eksport daun ketum itu perlu dibincangkan oleh agensi-agensi terlibat,” katanya.