Home Rencana PAS Johor

N15 Maharani : Taklifan yang menjemput tashrifan

821
SHARE

Taklifan (تكليفا) yang menjemput tashrifan (تشريفا)

Oleh : ANAS ABU OMAR

Saya masih ingat lagi, sewaktu krisis yang melanda PAS pada tahun 2015.

Hampir separuh kepimpinan PAS kawasan Muar meletakkan jawatan.

Pemegang-pemegang portfolio terpenting di dalam hirarki kepimpinan melepaskan jawatan seorang demi seorang.

Hari ni si A, lusa si B dan tulat pula si C.

Sampailah kepada kemuncaknya apabila YDP PAS Kawasan ketika itu turut memilih meletakkan jawatan dan meninggalkan rakan- rakan seperjuangan.

Lebih sakit lagi bilamana mereka yang keluar itu menjaja dan mencanang bahawa PAS Muar sudah lumpuh.

Namun, di saat-saat genting dan sukar itu Allah S.W.T menghadirkan kepada PAS Muar seorang insan, bernama Cikgu Abd Aziz Talib bagi memimpin PAS Muar.

Watak yang sebelum ini tidak menonjol dan hanya memegang portfolio biasa dalam jemaah hebat ini akhirnya dipilih sebagai pemimpin utama PAS Muar.

Kesanggupannya untuk menerima taklifan selaku YDP PAS Muar memberikan kelegaan kepada para ahlinya.

Bermula detik itu beliau tidak lagi menoleh ke belakang.

Berbekalkan sokongan Cikgu Che Man selaku TYDP dan pengalaman mantan ADUN Maharani Dr Mohammad Taslim selaku NYDP, beliau terus menjalankan peranannya untuk mengetuai PAS Muar.

Patah sayap bertongkat paruh, tiada rotan akar pun jadi.

Berbekalkan semangat inilah beliau yang merupakan seorang pesara guru akhirnya berjaya membentuk dan menyusun kembali saf kepimpinan PAS Muar bagi menghadapi PRU 14 yang diintai-intai kehadirannya.

Namun, keputusan PRU 14 memberikan satu igauan buruk kepada PAS di negeri Johor khususnya di Muar.

Kerusi yang Cikgu Abdul Aziz bertanding sendiri gagal dalam percubaan pertamanya bertanding di parlimen Muar.

Lebih parah lagi PAS Muar gagal mempertahankan Dun Maharani yang telah dikuasai sejak 2 penggal.

Segala-galanya seakan gelap dan samar bagi PAS Muar.

Namun susuk tubuh dan jiwa Cikgu Abdul Aziz ini tidak goyah bahkan terus ikhlas bersemangat untuk mengetuai dan meniupkan kata kata azimat serta perangsang kepada ahli-ahli yang wala’ juga taat agar terus istiqomah dan bekerja bagi menempatkan PAS di hati anak-anak Muar.

Keikhlasan dan kesungguhan beliau bersama seluruh jentera PAS Muar akhirnya dipandang oleh AllaH S.W.T .

Detik 11 malam pada 12 Mac 2022 bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sri Amar, Muar, SPR mengumumkan beliau adalah pemenang N15 Dun Maharani di dalam PRU negeri Johor 2022 di atas tiket Perikatan Nasional.

Keputusan yang disulami takbir dan tasbih kepada Allah, jua juraian air mata kegembiraan disambut bukan sahaja di Dun Maharani tetapi turut di kongsi oleh seluruh ahli PAS dan penyokong Perikatan Nasional di seluruh negeri Johor.

Buat YB Cikgu Abdul Aziz, yakinlah , anugerah kemenangan ini adalah kemuliaan (تشريفا) yang Allah berikan kepada YB setelah YB sanggup menerima amanah (تكليفا) kepimpinan yang berat itu.

Saya berpesan kepada diri saya dan seluruh ahli jemaah PAS Kawasan Muar agar terus memberikan sokongan dan dokongan kepada YB/YDP kita.

Jangan sampai tragedi Bukit Pasir mengambil tempatnya di Maharani.

Siiru ala barakatillah.

Penulis merupakan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Kawasan Muar