Home Berita PAS Kelantan

Juadah tradisional Kelantan bukan sekadar hidangan jasmani – Exco Warisan

42
SHARE

KOTA BHARU, 26 Dis: Lumrah sifat orang Kelantan yang peramah dan pemurah suka menghidupkan sunah Rasulullah saw dengan menjamu selera sanak saudara, sahabat handai dan tetamu sesuai dengan suasana.

Contohnya sekarang musim hujan banyak ubi kayu, kuih Putu Halba paling laku.

Sehubungan itu, Exco Kebudayaan dan Warisan Negeri Kelantan, YB Dato’ Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman menyatakan kepemurahan orang Kelantan terserlah melalui sajian air tangan.
“Datuk nenek kita memasak makanan atau membuat kuih bukan sepiring dua, tapi semangkuk atau setalam walaupun tak ramai orang yang tinggal di rumah mereka. Sengaja mereka buat lebih untuk dibahagi-bahagikan kepada jiran atau mereka sediakan untuk “orang bersampan (ssape),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menerangkan pada zaman dahulu, selain berjalan kaki, musafir kebanyakannya menggunakan kenderaan air sama ada sampan atau perahu. Jadi, musafir itu boleh sahaja tiba-tiba singgah di rumah nenek moyang kita tanpa diduga untuk tumpang solat, mengisi air bekalan atau bermalam jika cuaca kurang baik untuk mudik ke hulu atau menghilir ke muara.

“Sambil berjamu, mereka bersembang atau berbari (bercerita) tentang agama secara tidak langsung untuk saling mengingatkan tentang akidah, ibadah dan akhlak yang dipelajar secara menadah kitab daripada tok-tok guru setempat. Dari situ mereka cuba kaitkan dengan falsafah di dalam masakan setelah pemerhatian terperinci dibuat,” hurainya.

Hal tersebut diakui chef dan personaliti TV Britain, Ramsay Gordon yang mengatakan masakan Malaysia terbina daripada banyak lapisan kompleks yang yang digabung dalam cara unik. Ikon kulinari itu juga mengakui masakan Malaysia khasnya juadah Melayu melibatkan aspek keagamaan dan kepelbagaian budaya klasik.

Bagi merungkai falsafah yang tersirat di dalam juadah tradisional Kelantan yang sangat tinggi khazanahnya, Dato’ Md Anizam menerbitkan video Butir Nangka sebagai rujukan generasi muda dan pencinta budaya.