Home Artikel PAS Melaka

JPrN PAS Melaka ‘berkampung’ di Tanjung Piai

164 views
SHARE

Oleh : ABU ANAS

SEMABOK –  Secara rasminya petugas Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Melaka (JPrN) akan berkampung di Tanjung Piai bermula  esok  bagi membantu kempen Pilhan Raya Kecil (PRK) yang telah bermula Sabtu lepas.

Memandangkan kedudukan Melaka berhampiran dan jiran kepada Johor, PAS Melaka akan memberikan sokongan padu melalui kekuatan jentera parti sepenuhnya sehingga hari membuang undi 16 November nanti.

Pengarah JPrN Melaka, Bahiki Ismail berkata atas semangat taawun Muafakat Nasional dan arahan dari Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, JPrN Melaka diberi tanggungjawab untuk membantu jentera PAS Johor dan BN Melaka.

“Sebelum ini pun kita (JprN Melaka) telah bekerjasama dengan BN Melaka di PRK Semenyih dan Rantau, alhamdulillah kedua-duanya membuahkan hasil,” katanya.

Tambah beliau lagi, JPrN Melaka akan bertugas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Nenas Tengah, Pekan Nenas Selatan dan Ladang Sungai Burung.

“Kali ini sasaran kempen kita bukan hanya menumpukan kepada  pengundi-pengundi Melayu dan ahli PAS sahaja bahkan tidak mengira agama dan bangsa,”jelasnya.

Walaupun PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru, rata-rata penganalisis politik bersetuju  ini adalah  medan ujian sokongan kepada MCA, Muafakat Nasional dan PH.

Untuk rekod PRU14, Bersatu memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai ini dengan hanya majoriti tipis  524 undi.