Oleh : AHMAD KAUTSAR MD ALI
DURIAN TUNGGAL: Jabatan Pilihanraya Dun (JPrD) PAS Durian Tunggal dalam Kawasan Alor Gajah telah mengedarkan sumbangan keperluan makanan kepada 22 orang asnaf yang memerlukan di sini Selasa lepas. Bantuan disampaikan oleh Pengarah JPrD PAS Durian Tunggal, Azman Ahmad.
Menurut Azman, dalam menghadapi wabak COVID 19 yang melanda negara sekarang, pihak JPrD PAS Durian Tunggal telah menetapkan tiga kumpulan sasar penerima sumbangan setakat ini iaitu :
1. Petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Durian Tunggal, anggota Keselamatan di Padang Keladi dan Batu Berendam.
2. Mereka yang terjejas ekoran dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kesukaran mendapat bekalan kerana pendapatan yang terjejas dan ketua keluarga yang tiada bersama.
3.Berbetulan dengan kejadian banjir di Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai semalam, sumbangan juga disasarkan kepada mangsa-mangsa banjir di situ.
Sumbangan untuk mangsa banjir dan golongan terjejas disebabkan PKP ini adalah berupa barangan makanan seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, kicap, telur, biskut dan makanan ringan. Manakala untuk petugas barisan hadapan pula berbentuk minuman berkarbonat.
Program yang berjalan dari pagi hingga petang ini turut disertai oleh Timbalan Pengarah JPrD PAS Tunggal Mohsin Ibrahim serta beberapa orang AJK.