Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Tips Mengoptimumkan Kelonggaran Pembayaran Pinjaman Bank Dan Pengeluaran KWSP Kerana Wabak Covid-19.

671
SHARE

Oleh : HAJI RAFIE AHMAD

Berikut adalah antara langkah-langkah yang diumumkan oleh kerajaan dalam menghadapi bencana Covid 19 ini:

1. Pengeluaran akaun 2 KWSP dengan kadar RM500 sebulan selama 12 bulan bermula 1 April 2020 untuk yang berusia 55 tahun ke bawah.

2. Pengurangan caruman pekerja dari 11 peratus kepada 7 peratus. Caruman majikan kekal 13 peratus.

3. Moratorium dari semua bank-bank untuk ‘term loan’ seperti pinjaman kereta dan pinjaman perumahan.

Ramai yang bertanya dan ini pandangan kami dari Lajnah Ekonomi Negeri Melaka:-

1. Pandangan untuk soalan 1

Ambil peluang yg diberi ini sebab ini adalah duit simpanan kita. Walaupun mungkin ada yang berkata “kami tak perlu”, tapi bila ruang telah diberi ambillah dan jika tak guna pun, simpanlah ia sebagai simpanan kita kerana kita tidak pasti akan keadaan yang mendatang. Mungkin hari ni tidak perlu, tapi esok atau lusa atau seterusnya mungkin kita akan memerlukannya.

2. Pandangan untuk soalan 2

Ini adalah pilihan kita, nak terus kekal dengan potongan asal 11 peratus atau tukar kepada 7 peratus seperti yang dimaklumkan oleh kerajaan. Sebagai contoh, kalau gaji kita RM2 ribu sebulan, potongan 11 peratus adalah sebanyak RM220, potongan 7 peratus pula adalah sebanyak RM140. Maknanya setiap bulan kita ada lebihan tunai RM80 di tangan kita jika kita pilih utk mencarum 7 peratus. Jadi untuk tempoh jangka pendek ini eloklah ambil peluang ini supaya kita ada sedikit lebihan tunai di tangan untuk berbelanja keperluan dapur. Selepas keadaan tenang semula, bolehlah mencarum 11 peratus semula seperti yang asal.

3. Pandangan untuk soalan 3

Memang ramai yang bertanya dan tidak pasti tentang perkara ini. Jawapannya ialah semua jenis “term loan” seperti pinjaman kereta dan pinjaman rumah dari semua ‘institusi bank sahaja’ (pinjaman syarikat tak termasuk dan peminjam boleh dapatkan penjelasan dari majikan). ‘Term loan’ dari semua bank-bank akan secara automatik ditangguhkan mulai 1 April 2020 hingga 1 Oktober 2020.

Namun tertakluk kepada syarat-syarat berikut:-

1. Pinjaman tidak tertunggak selama 90 hari dari 1 April 2020.

2. Bermula dari 1 April 2020.

3. Jika tempoh akhir pembayaran pinjaman kita setiap bulan adalah pada 30 haribulan setiap bulan, maknanya kita masih perlu jelaskan pinjaman kita untuk bulan Mac ini. Selepas itu untuk akhir bulan April hingga akhir bulan September 2020, kita tidak perlu bayar lagi. Dan ini adalah secara automatik.

Bayangkan kalau setiap bulan kita membayar pinjaman kereta dan rumah berjumlah RM1 ribu maknanya selama enam bulan kita akan dapat buat simpanan sebanyak RM6 ribu dalam tabung simpanan kita. Cuma jangka bayaran balik loan kita akan bertambah enam bulan dari yang asal.

*Nota – kad kredit tidak termasuk dalam term loan dan ia perlu dijelaskan seperti biasa*

Secara kesimpulannya, kerajaan telah memikirkan kaedah yang terbaik untuk kita dalam mendepani krisis ini, gunakan ruang yang diberi untuk mengukuhkan simpanan kita kerana kita tidak tahu bila krisis ini akan berakhir dan bagaimana keadaan yang mendatang.

Penulis adalah Ketua Lajnah Ekonomi, Perhubungan PAS Negeri Melaka