Home Berita PAS Kelantan

JKM sudah siap sedia hadapi musim banjir

35
SHARE

PASIR MAS, 20 September: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yosoff berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini sudah bersedia mencapai tahap 100 peratus bagi menghadapi apa-apa musibah yang dijangka berlaku pada penghujung tahun ini.

Berikutan itu, tambahnya JKM memandang serius terutamanya berkaitan dengan penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) dan pelbagai jenis bantuan lain kepada mangsa ketika menghadapi situasi banjir nanti.

“Kesemua depoh-depoh JKM sudah mula dipenuhi dengan barang keperluan yang meliputi tuala, tilam dan bantal, pampers, ubat-ubatan dan lain-lain di beberapa depoh utama simpanan keperluan bencana. Mengikut statistik yang ada, tahun lepas 2021 kita telah menghadapi lima gelombang banjir di antara bulan November dan Disember, manakala pada tahun 2022 pula berlaku pada awal bulan Januari dan Mac, yang mana ia merupakan cabaran buat kita bersama untuk hadapi bencana alam yang tidak diduga ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau yang ditemui ketika merasmikan program Latih Amal Simulasi Pengurusan Pusat Perpindahan Banjir Sementara (PPS) bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi MARA itu, turut menzahirkan penghargaan kepada JKM kerana telah mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan program seperti ini selain memberikan pendedahan dan dapat memperkasakan komuniti.

“Bagi menghadapi banjir tahun ini, JKM sudahpun menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM 9.16 juta, manakala peruntukan bagi negeri Kelantan adalah berjumlah RM 3.6 juta khususnya bagi pengurusan mangsa banjir di seluruh negeri Kelantan,” tambahnya.