Home Berita PAS Melaka

Jentera penerangan perlu pantas dan bingkas tangkis berita batil – Ustaz Kamarudin

141
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 26 Jul: Jentera penerangan PAS perlu pantas dan bingkas mematahkan berita-berita yang mempunyai unsur-unsur kebatilan, kata Pesuruhjaya PAS Mèlaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.

Menurut beliau rakyat sebenarnya dibentuk dengan apa yang mereka terima saban hari dan jika saban hari mereka menerima berita yang berunsur kebatilan atau pembohongan, maka itulah yang akan mereka ikuti.

“Begitu juga sebaliknya, jika mereka dihidangkan dengan perkara yang benar maka mereka akan mengikut kebenaran,” ujar beliau.

Tambah Ustaz Kamarudin, di dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa akan wujud satu zaman penuh penipuan di mana pada masa itu manusia akan membenarkan perkara yang salah dan perkara yang benar pula dianggap salah.

“Ini fenomena yang kita hadapi dalam zaman di mana kita berada,” kata beliau lagi.

Dengan membaca ayat Al-Quran surah Al Ahzab ayat ke 39 dan terjemahannya, Ustaz Kamarudin seterusnya menjelaskan bahawa apabila disebut tentang kerja penerangan, ia sebenarnya adalah salah satu atau sebahagian daripada kerja para Nabi dan para Rasul.

“Ia mempunyai dua fungsi yang besar. Yang pertama penerangan ini ia akan fokus membawa tentang berita kebenaran.

“Dan yang kedua penerangan ini juga fungsinya untuk menghilangkan kekeliruan dalam kalangan manusia dan masyarakat,” katanya.

Menurut Ustaz Kamarudin inilah dua kerja besar yang perlu difokuskan oleh penerangan samada di peringkat pusat, negeri, kawasan atau cawangan.

“Dan inilah isu yang membelenggu masyarakat negara kita pada hari ini. Apabila mereka tidak mendapat berita yang betul atau pun yang benar tentang perjuangan yang dibawa oleh PAS atau pun tentang isu-isu yang sedang berjalan pada hari ini.

“Dan yang kedua kekeliruan dalam konteks mereka memahami. Sebab ada perkara-perkara atau pun kelompok-kelompok yang mengelirukan kebenaran.

“Justeru itu walau pun kerja yang kita lakukan ini adalah satu kerja yang besar, sebahagian daripada kerja-kerja yang dibawa oleh Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi, dalam kita mendepani penerangan atau kita menyebarluaskan ejen penerangan ini, kita perlu ada sistem seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali Karamallahu Wajha bahawa ‘kebenaran yang tidak berperancangan, yang tidak bersistematik, akan dikalahkan oleh kebatilan yang berperancangan’,” ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka itu turut mengucapkan jutaan terima kasih atas segala gerak kerja yang telah dilakukan oleh jentera penerangan PAS peringkat Negeri dan Pusat.

“Sebab itu kita ucapkan ribuan terima kasih terhadap pihak Jabatan Penerangan samada di peringkat Pusat atau peringkat Negeri.

“Kita telah ketengahkan dalam bentuk sistem penyampaian dan penyebarluasan maklumat tentang peranan yang perlu kita mainkan,” kata beliau lagi.

Ustaz Kamarudin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup bagi program ‘Konvensyen Penerangan PAS Melaka’ yang berlangsung secara dalam talian dari jam 2.00 hingga 6.00 petang semalam melibatkan aktivis-aktivis PAS daripada semua peringkat bagi negeri ini.

Beliau seusai ucapan penutupnya itu turut melancarkan kempen ‘Kita Ejen Penerangan’ peringkat Negeri Melaka di mana pelancaran kempen ini di peringkat Pusat telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam Konvensyen Penerangan PAS Pusat yang telah berlangsung pada 18 dan 19 Jun lepas juga secara dalam talian.

Turut membentangkan kertas kerja di dalam program ini ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat, Shuhaimi Embong, Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Zul Fadli Ramli dan Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaludin.