Home Berita PAS Kedah

Jentera bantuan telah lama bergerak sebelum ‘Bendera Putih’

213
SHARE

ALOR SETAR – Kerajaan menerusi pelbagai peringkat struktur jentera telah sedia menggerakkan usaha membantu rakyat menangani impak atas kehidupan semasa pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ADUN Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat menjelaskan, peranan tersebut telahpun sedia digerakkan menerusi Ketua Kampung atau Komuniti, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Penghulu dan Pejabat ADUN.

Juga katanya, dipusatkan usaha lebih luas menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) diketuai Pejabat Daerah bersama agensi lain, seiring Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Jelas beliau, tanpa ada kempen atau isyarat ‘bendera putih’ sekalipun, semua jentera kerajaan disediakan untuk membantu rakyat serta diumumkan terbuka saluran untuk mereka yang terkesan menghubungi atau memohon.

Terang beliau, menerusi struktur menyeluruh itu, kerajaan memastikan keciciran rakyat yang perlu dibantu dapat dikurangkan selain tiadanya pertindanan, malah diperluas kepada institusi masyarakat seperti masjid.

Menurutnya, penyelarasan tersebut juga melibatkan sama badan bukan kerajaan (NGO) dan juga syarikat korporat atau kementerian, jabatan atau agensi kerajaan lain yang menggerakkan inisiatif bantuan.

“Menerusi tindakan ini dapat mengurangkan pergerakan individu yang tidak perlu sebagai mematuhi prosedur PKP yang dilaksanakan kerajaan. Jika dibenarkan ia berterusan maka pergerakan individu yang tidak berkenaan akan membanjiri rumah yang ada bendera putih untuk bagi bantuan.

“Kerajaan Kedah telah tetapkan semua pergerakan bantuan mestilah melalui PKOB dan individu atau NGO yang berdaftar dengan pihak berkuasa untuk memudahkan pengesanan kontak rapat sekiranya terjadi jangkitan.

“Rakyat perlu bantu kerajaan dalam masa sukar ini dengan salurkan maklumat mengenai nombor telefon PKOB, ADUN, JPKK, Penghulu dan sebagainya.

“Elakkan untuk bertindak sendiri walaupun ianya mungkin kelihatan agak popular tapi risikonya amat tinggi kerana varian COVID-19 terbaru ni lebih bahaya dan berbentuk sporadik,” ujarnya