Home Artikel PAS Melaka

Jenazah bapa mentua Ketua Menteri Melaka selamat dikebumikan

292
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 9 Apr : Jenazah bapa mentua kepada Ketua Menteri Melaka, Allahyarham M. Yusop Ijang, 83, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Durian Daun, di sini, pagi tadi.

Terdahulu jenazah telah disembahyangkan di Masjid Al Mujib Durian Daun oleh ahli keluarga, tetamu-tetamu kehormat, kenalan, penduduk kampung dan orang ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Allahyarham yang merupakan bapa kepada isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Utama Munira M. Yusop meninggal dunia akibat sakit tua dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Putra Melaka, malam tadi.

Antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman dan Timbalan Presiden PAS yang juga Menteri KASA, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Berita pemergian Allahyarham itu telah dimaklumkan sendiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama (Dr.) Sulaiman Md Ali dalam satu hantaran Facebook beliau malam tadi.

“Saya dan isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Seri Utama Hajah Munira Binti M. Yusop serta keluarga baru menerima perkhabaran duka mengenai pemergian ke rahmatullah bapa mentua saya, Allahyarham M Yusop bin Ijang, sebentar tadi.

“Allahyarham M Yusop, 83 tahun meninggal dunia akibat sakit tua. Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Durian Daun, sebelum urusan pengebumian.

“Sama-sama kita mendoakan kesejahteraan Allahyarham. Saya dan keluarga berasa cukup kehilangan di atas pemergian bapa mentua kesayangan,” ujar beliau di dalam hantaran Facebooknya itu.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek turut menyampaikan ucapan takziah dalam satu hantaran Facebooknya malam tadi sebaik beliau dimaklumkan tentang perkhabaran ini.

Beliau yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka dalam hantaran itu mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka (BPPNM) merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga YAB Ketua Menteri Melaka atas pemergian bapa mentuanya itu.

“Didoakan moga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” kata beliau.

Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman yang turut hadir di dalam majlis pengebumian ini turut mengucapkan takziah kepada Ketua Menteri Melaka dan isteri atas peristiwa sedih ini.

“Memang sesuatu yang pedih kehilangan orang tersayang. Namun semua ini ujian Allah swt kepada setiap hamba-Nya, cuma kita tak tahu bila.

“Kita semua mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan diampunkan serta ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Dan kita turut merasakan kesedihan ini,” ujar Ustaz Imran ketika ditemui Harakahdaily usai majlis pengebumian tadi.

Turut hadir di dalam majlis pengebumian ini ialah Pengarah Jentera Pilihan Raya Dun (JPrD) PAS Lendu, Jamaruddin Ahmad bersama dengan pimpinan PAS tempatan.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

.        SAMBAL IBU SARI         .