Home Berita PAS Melaka

Jenazah Almarhum Haji Adam selamat dikebumikan

316
SHARE
Anak lelaki Almarhum, Muhammad Adam (depan sekali)

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 5 Sept: Jenazah mantan Ketua Cawangan PAS Kampung Lendu, Haji Adam Majid, 76, yang meninggal dunia malam semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lendu Dalam, di sini, petang tadi.

Terdahulu jenazah Assabiqun PAS ini telah disolatkan oleh ahli keluarga, saudara mara dan kenalan terdekat Almarhum di Masjid Lendu selepas solat Asar.

Menurut anak lelaki Almarhum, Muhammad Adam, 50, Almarhum sebelum ini pernah dijangkiti Covid-19 namun sudah pulih.

“Arwah pernah dijangkiti Covid-19 stage-4 dan dimasukkan ke wad pada 12 Jun lepas dan kena ‘intubated’ selama lebih kurang sebulan lebih juga (dalam ICU). Selepas tu dia sembuh (Covid-19), tapi paru-paru dia tidak berada dalam keadaan baik.

Almarhum Haji Adam Majid

“Selepas keluar ICU tu arwah ditempatkan di wad biasa dalam tiga minggu juga. Arwah keluar wad dalam pertengahan bulan Julai,” ujar beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM) ketika upacara pengebumian petang tadi.

Tambah Muhammad lagi pada masa itu keadaan Almarhum stabil namun mengalami ‘bad rhythm’ (degupan jantung) dan paru-paru lemah.

“Arwah ni memang ada kencing manis dan darah tinggi. Memang dah lama dah arwah menghidap penyakit ni.

“Dan masa dia keluar wad tu pula kita dapati ada ‘bedsore’ di bahagian belakang. Sebab baring lama sangat di ICU. Ingatkan kecil, tapi tengok besar (kawasan jangkitan),” ujar beliau.

Jelas beliau, selepas keluar daripada wad itu pula mereka telah membawa Almarhum untuk menjalani satu pembedahan di Hospital Putra bagi merawat masalah ‘bedsore’ tersebut.

Menurut Muhammad selepas keluar daripada Hospital Putra kira-kira sebulan lepas Almarhum terlantar dan tidak mampu berjalan sendiri.

Sepanjang tempoh itu, kata beliau lagi, Almarhum menjalani proses ‘dressing’ setiap hari bagi mencuci kesan ‘bedsore’ yang baru melalui pembedahan itu sehinggalah hari-hari terakhir Almarhum.

Almarhum Haji Adam menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 11 malam semalam di rumahnya di Batu 17, Kampung Lendu dan pihak Hospital Alor Gajah juga mengesahkan jenazahnya negatif Covid-19.

Turut menghadiri upacara pengebumian tadi ialah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Cikgu Arshad Md Som dan Ketua Cawangan PAS Kampung Lendu, Mohamad Nasri Jaafar.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.