Home Minda Presiden

Jangan kecewakan peranan anak muda 

316
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 2 / 2023]
JANGAN KECEWAKAN PERANAN ANAK MUDA 


Menjadi satu perbualan: “Zaman kanak-kanak yang sihat tiada kematangan akal, manakala zaman tua pula ada yang akalnya matang tetapi tidak kuat dan sihat. Namun, perkara yang paling malang apabila akalnya tidak matang walaupun sudah tua.”

Golongan yang terbaik ialah sesiapa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

‌خَيْرُ ‌النَّاسِ ‌مَنْ ‌طَالَ ‌عُمْرُهُ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ.

“Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 2329)

Sebaliknya, golongan yang paling malang ialah kalangan mereka yang disebutkan oleh al-Quran melalui firman Allah SWT:

﴿وَمَن نُّعَمِّرۡهُ نُنَكِّسۡهُ فِي ٱلۡخَلۡقِۚ أَفَلَا يَعۡقِلُونَ٦٨﴾

“Dan sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, nescaya Kami kembalikan dia kepada kejadiannya (seperti zaman kanak-kanak semula). Maka, apakah mereka tidak memikirkan?” (Surah Yasin: 68)

Ada mereka yang tua memperlekehkan kalangan yang muda kerana mereka menganggap diri mereka itu lebih berpengalaman, walaupun hakikatnya jahil murakkab dan bersikap takabbur. Mereka itu laksana Iblis yang tidak layak mendapat hidayah Allah SWT, walaupun kuat dan lama ibadat yang dilakukannya.

Maka, zaman muda ialah masa yang mengumpulkan kekuatan jasad dan kematangan akal yang berperanan besar dalam kehidupan manusia bagi melakukan perubahan terhadap suatu umat dalam sejarahnya. Rasulullah SAW memberikan suatu bentuk kelebihan kepada anak muda yang terus beribadat dengan mendapat perlindungan Allah SWT pada Hari Kiamat kelak, sebagaimana sabdanya:

‌وَشَابٌّ ‌نَشَأَ ‌فِي ‌عِبَادَةِ ‌رَبِّهِ.

“Dan anak muda yang terdidik terus beribadat kepada Tuhannya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 660)

Rasulullah SAW juga mengarahkan agar golongan muda digalakkan untuk bersukan bagi menggalakkan kekuatan jasad bukan semata-mata rohnya sahaja. Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA pernah berkata:

عَلِّمُوا أَوْلَادَكُمُ السِّبَاحَةَ، وَالرِّمَايَةَ.

“Ajarlah anak-anak kamu sukan memanah dan berenang.”

Bahkan, Rasulullah SAW juga pernah melantik seorang sahabat yang masih muda iaitu Usaid bin Hudhair RA menjadi Wali Makkah, termasuklah melantik Usamah bin Zaid RA yang muda menjadi panglima tentera. Khalifah ‘Umar RA melantik ‘Abdullah bin ‘Abbas RA yang masih muda menjadi ahli mesyuaratnya (ahli Syura).

Ramai yang terlepas pandang apabila bertindak meremehkan peranan anak muda dalam melakukan perubahan kepada sesuatu umat berpandukan firman Allah SWT:

﴿لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ١١﴾

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya secara bergiliran, dari depan muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada sesiapa pun yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada sesiapa pun menjadi pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.” (Surah al-Ra‘d: 11)

Walaupun anak muda menjadi sasaran semua pihak, khususnya oleh musuh Islam yang mahu merosakkannya, namun Islam tetap memuji peranan mereka dan mewajibkan ilmu dan tarbiah secara khusus kepada mereka.

Allah SWT mewahyukan surah yang khusus dalam al-Quran menceritakan tentang kumpulan para pemuda yang diberikan hidayah, dalam keadaan mereka berasal daripada kalangan kaum bangsawan pada zamannya. Akan tetapi, mereka layak mendapat hidayah Allah SWT kerana berfikir untuk mencari kebenaran.

Cerita mereka menjadi teladan sehingga akhir zaman, sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Kahfi apabila dilaporkan cerita yang sebenar. Malah, kisahnya juga disebutkan dalam kitab-kitab suci sebelumnya bagi membuktikan terdapat hubungan pada ajaran yang sama dalam kalangan para rasul. Firman Allah SWT:

﴿نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّۚ إِنَّهُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَٰهُمۡ هُدٗى١٣ وَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُواْ فَقَالُواْ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَاْ مِن دُونِهِۦٓ إِلَٰهٗاۖ لَّقَدۡ قُلۡنَآ إِذٗا شَطَطًا١٤ هَٰؤُلَآءِ قَوۡمُنَا ٱتَّخَذُواْ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةٗۖ لَّوۡلَا يَأۡتُونَ عَلَيۡهِم بِسُلۡطَٰنِۢ بَيِّنٖۖ فَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبٗا١٥﴾

“Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya, mereka itu pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan pula untuk mereka petunjuk. (13); Dan Kami meneguhkan hati mereka pada waktu mereka berdiri (menyatakan kebenaran), lalu mereka pun berkata: ‘Tuhan kami ialah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak akan menyeru Tuhan selain daripada-Nya; sesungguhnya, jika kami menyembah yang lain bermakna kami telah mengucapkan perkataan yang amat jauh daripada kebenaran.’ (14); (Mereka berkata sesama sendiri): Kaum kita ini telah menjadikan selain-Nya sebagai tuhan-tuhan (untuk disembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka)? Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah? (15)” (Surah al-Kahf: 13-15)

Mereka berjuang sehingga tidak pernah sekali-kali menyerah kalah, walaupun sebelumnya sudah hidup senang-lenang sebagai anak bangsawan. Sehinggakan, akhirnya mereka bersembunyi di dalam sebuah gua kerana ingin mempertahankan aqidah dan ketidakmampuan mereka untuk melawan kesesatan golongan yang berkuasa.

Seterusnya, kisah Nabi Yusuf AS pula dijadikan dalam satu surah khusus dengan namanya kerana Baginda menghadapi pelbagai bentuk cabaran sejak kecil dan muda lagi. Baginda AS menahan diri daripada godaan oleh wanita tercantik, sehingga Baginda lebih rela dipenjarakan semata-mata kerana ingin mempertahankan iman dan moral yang mulia. Dengan tegas, Baginda menyatakan:

﴿قَالَ رَبِّ ٱلسِّجۡنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدۡعُونَنِيٓ إِلَيۡهِۖ وَإِلَّا تَصۡرِفۡ عَنِّي كَيۡدَهُنَّ أَصۡبُ إِلَيۡهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلۡجَٰهِلِينَ٣٣ فَٱسۡتَجَابَ لَهُۥ رَبُّهُۥ فَصَرَفَ عَنۡهُ كَيۡدَهُنَّۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٣٤﴾

“Yusuf berkata: ‘Wahai Tuhanku! Penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang bodoh.’ (33); Maka, Tuhannya memperkenankan doa Yusuf dan Dia menghindarkan Yusuf daripada tipu daya mereka. Sesungguhnya, Dialah Tuhan yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (34)” (Surah Yusuf: 33-34)

Oleh itu, Allah SWT memilih para rasul daripada kalangan pemuda, kerana perjuangan yang mencabar dan panjang masanya akan ditempuhi. Contohnya, perjuangan Nabi Ibrahim AS yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿قَالُواْ مَن فَعَلَ هَٰذَا بِاٰلِهَتِنَآ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ٥٩ قَالُواْ سَمِعۡنَا فَتٗى يَذۡكُرُهُمۡ يُقَالُ لَهُۥٓ إِبۡرَٰهِيمُ٦٠ قَالُواْ فَأۡتُواْ بِهِۦ عَلَىٰٓ أَعۡيُنِ ٱلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَشۡهَدُونَ٦١﴾

“Mereka berkata: ‘Siapakah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, sesungguhnya dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim.’ (59); Mereka berkata: ‘Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim.’ (60); Mereka berkata: ‘(Jika demikian) bawalah dia dengan cara yang dapat dilihat orang ramai, agar mereka dapat menyaksikan.’ (61)” (Surah al-Anbiya’: 59-61)

Begitulah juga para rasul itu dilantik daripada kalangan mereka yang masih muda, termasuklah juga nabi yang terakhir, Nabi Muhammad SAW yang dilantik dalam usia muda dan dikelilingi oleh para sahabat yang lebih muda daripadanya.

Allah SWT menyesatkan kaum Bani Isra’il selama 40 tahun, setelah mereka mengecewakan Nabi Musa AS apabila mereka tidak mahu berjihad membebaskan Palestin yang pernah dimakmurkan oleh Nabi Ibrahim AS bapa bagi seluruh anbiya’. Mereka diperintahkan supaya menegakkan sebuah negara yang berpandukan kitab suci Taurat sebagai petunjuk daripada Allah SWT.

Sehinggakan, lahirnya generasi muda yang layak untuk melaksanakan tugas selepas Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS wafat dengan penuh kesedihan. Hal ini adalah disebabkan umatnya tidak bersyukur kepada Allah SWT.

Semua cerita yang disebutkan dalam al-Quran ialah petunjuk sepanjang zaman, termasuk pada zaman kita hari ini kerana semua kandungan al-Quran menjadi petunjuk kepada seluruh manusia yang bersifat mukjizat ilmu yang berkekalan. Firman Allah SWT:

﴿الٓمٓ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ٢ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ٣ وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ٤ أُوْلَٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدٗى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ٥﴾

“Alif laam miim. (1); Kitab (al-Quran) ini tiada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (2); (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. (3); Dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. (4); Mereka itulah golongan yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (5)” (Surah al-Baqarah: 1-5)

Hanya mereka yang buta al-Quran sahaja tidak mengambil iktibar dan petunjuk dengannya, sehingga terpengaruh dengan media tanpa ilmu dan hidayah yang tersebar.

Kini, disaksikan gelombang kebangkitan anak muda Melayu Islam dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini yang telah memenangkan Perikatan Nasional (PN). PAS secara khusus amat merasai kebenaran al-Quran, apabila anak muda yang  dianggap mentah itu telah mencetuskan kemenangan kepada suara Islam, sehingga mereka menolak segala habuan kebendaan serta slogan kuat menipu kononnya menentang rasuah dan salah laku dengan propaganda yang hebat.

Ketika itu, dipaparkan sokongan para profesor dan ilmuwan yang nyata berilmu tetapi kecil akalnya, semata-mata bagi menggoda anak muda. Selain itu, turut digunakan segala media sosial yang canggih tanpa sempadan dan banyak ditaburkan janji bohong yang lama tidak ditunaikan lagi dan janji yang baharu tidak tertunai.

Semua tawaran tersebut ditolak oleh anak muda yang ditipu ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, dan sekali gus menolak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15. Sehinggakan, pencapaian kerusi mereka (PH) bergantung kepada undi bukan Islam, manakala BN pula bergantung kepada warga tua di saluran satu yang terlebih makan garamnya.

Benarlah anak muda telah menghayati sabda Rasulullah SAW:

لَا يُلْدَغُ المؤْمِنُ ‌مِنْ ‌جُحْرٍ ‌وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ.

“Tidak seharusnya seorang yang beriman disengat dua kali daripada satu lubang yang sama.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6133, Muslim, no. 2998 dan lain-lain)

Perkara yang paling penting apabila anak muda mendapat petunjuk Allah SWT untuk menunaikan kewajipan mengundi yang menjadi jihad fardu ‘ain, bukan lagi fardu kifayah kerana Islam dan umatnya diancam. Adapun kalangan mereka yang tua pula tidak menunaikan kewajipan yang besar ini kerana merasakan ia tidak penting, disebabkan jahil murakkab setelah dikatakan negara ini sudah merdeka lebih setengah abad.

Adapun penubuhan kerajaan pasca pilihan raya adalah di luar tabii demokrasi yang sebenar bersama penipuan yang nyata dengan mengumpulkan semua kumpulan penipu, penyangak dan oportunis.

Pada masa yang sama, mempunyai penyakit ‘Hubbu al-Ri’asah’ yang dilarang oleh Rasulullah SAW, dengan janji dibiarkan kalangan tersebut tanpa mendapat pertolongan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW kepada sahabatnya:

يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ! ‌لَا ‌تَسْأَلِ ‌الإِمَارَةَ، ‌فَإِنَّكَ ‌إِنْ ‌أُعْطِيتَهَا ‌عَنْ ‌مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا، وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا.

“Wahai ‘Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu meminta-minta untuk menjadi pemimpin. Maka, jika kamu diberikan jawatan dengan rakus meminta-minta, nescaya dibebankan kepada kamu (tanpa pertolongan dan petunjuk Allah). Jika jawatan itu diberikan bukan dengan cara meminta-mintanya, nescaya kamu akan diberikan pertolongan (oleh Allah dan mendapat petunjuknya).” (Riwayat al-Bukhari, no. 7146 dan Muslim, no. 1652)

Kini, umat Islam di seluruh dunia sedang dihalang kebangkitannya semula untuk berkuasa dengan berbagai-bagai fitnah dan penipuan bagi menghalang Islam dan umatnya yang berdaulat. Apabila Islam itu berkuasa memerintah negara yang adil kepada semua, maka pasti akan wujud kerajaan yang bersih daripada segala penyakit rasuah, salah urus dan lain-lain dengan beriman dan berakhlak bukan sahaja berilmu, kerajaan yang ditolak oleh mereka itu.

Islam tetap dihalang di mana sahaja di seluruh dunia, walaupun telah memilih pendekatan demokrasi yang dikira sinonim dengan Islam. Namun, demokrasi ala Barat hakikatnya mengharamkan Islam berkuasa semula. Alasan di sini kerana PAS mendapat kerusi paling banyak, walaupun PAS sedia berta‘awun dengan semua kumpulan yang tidak ekstrem.

Maka, terciptalah satu kumpulan Ahzab (barisan, parti dan kumpulan) yang berbeza ideologi dan niat yang tidak ikhlas, bersatu untuk menentang Islam yang pernah dihadapi oleh generasi awal dengan penuh keimanan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا٢٢﴾

“Dan tatkala orang-orang Mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.’ Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka kecuali iman dan ketundukan (kepada Allah).” (Surah al-Ahzab: 22)

Walaupun kumpulan yang berpenyakit itu sedang berkuasa dengan segala tipu dayanya, namun Allah SWT berjanji akan menamatkannya setelah diberikan tempoh bertaubat yang cukup.

Walaupun anak muda telah dikecewakan, kita mengharapkan mereka tidak berputus asa dan menyerah kalah kerana ujian Allah SWT adalah untuk melakukan suatu perubahan yang terbaik di bawah kuasa-Nya. Allah SWT memberikan amaran terhadap mereka yang menipu melalui firman-Nya:

﴿وَقَدۡ مَكَرُواْ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخۡلِفَ وَعۡدِهِۦ رُسُلَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٞ ذُو ٱنتِقَامٖ٤٧﴾

“Dan sesungguhnya mereka telah membuat makar yang besar padahal di sisi Allah-lah (balasan) makar mereka itu. Dan sesungguhnya makar mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap karenanya. (46); Kerana itu janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada para rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan yang tiada siapa dapat menghalangnya. (47)” (Surah Ibrahim: 46-47)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh:  13 Jumada al-Akhirah 1444 / 6 Januari 2023