Home Berita PAS Kedah

Jamuan Raya Rumah Terbuka PAS Kawasan Langkawi

161
SHARE

Oleh SHAKIRAH AZIZAN

LANGKAWI, 29 Mei – Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini diserikan lagi dengan penganjuran Jamuan Raya Rumah Terbuka PAS Kawasan Langkawi yang berlangsung meriah di Dataran Masjid Al Ehsan Temonyong, semalam.

Menurut Pengarah Majlis Jamuan Raya merangkap Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Langkawi, Ustaz Mohd Shazuri Saad, hampir 3,000 hadirin telah membanjiri Dataran Masjid Al-Ehsan, Temonyong bermula jam 12.00 tengah hari bersama ahli keluarga dan jiran tetangga.

Selain itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, Zubir Ahmad yang juga Ahli Majlis Perbandaran Langkawi berkata pengunjung berpeluang merasai pelbagai hidangan yang disediakan berkonsepkan layan diri.

“kebanyakan tetamu yang hadir bersama keluarga ke majlis yang berlangsung sehingga 4 petang itu, turut memakai pakaian sedondon bagi menceriakan majlis rumah terbuka Aidilfitri berkenaan. Pengunjung  juga merakamkan gambar sebagai kenangan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Langkawi, Ustazah Fatimah Ibrahim menzahirkan kesyukuran memandangkan penganjuran jamuan raya dapat diadakan setelah berdepan dengan pandemik, usaha ini juga dapat membina dan mengeratkan silatulrahim.

Pelbagai juadah disediakan oleh Dewan Muslimat  PAS Kawasan Langkawi dan PAS Cawangan-cawangan seperti gulai daging bersama nasi, ikan talam masin masak asam, anak ikan temenung goreng, ketupat, rendang, tapai, bihun sup, satay, jajan kekacang, ais krim, rojak buah,  buah-buahan, apam balik, kuih-muih serta minuman air manis dan mineral.

Kehadiran Pegawai Daerah Langkawi, Dato Abdul Gafar Yahya ke Rumah terbuka PAS Kawasan Langkawi kira-kira 1 tengah hari memeriahkan lagi majlis.

Turut hadir  Ahli Majlis Perbandaran Langkawi , Nazri Ali, Azlina Azinan,  Ketua Muslimat PAS Kawasan Langkawi, Ustazah Fatimah Ibrahim, Ketua Pemuda PAS Kawasan Langkawi, Akashah Azinan, Tuan Guru Haji Shafie, Adun Ayer Hangat, Dato’ Haji Juhari bin Bulat, Pengerusi MCA Langkawi, Dato Chen Liau Weng, Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Fauzi Rahman, Ketua Pemuda Pejuang Langkawi, Aliff Aiman, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Langkawi, Imam Masjid Padang Kandang, Yusoff Ismail, Polis Padang Matsirat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung  (JPKK) dari kampung berdekatan.