KUALA LUMPUR: Mewujudkan jajaran jalan raya baharu atau pembinaan lebuh raya di Kuala Krai menjadi keperluan mendesak yang perlu disegerakan Kerajaan Persekutuan, demikian gesa Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS – Kuala Krai).
Menurut beliau, jajaran yang sepatutnya menerima manfaat daripada RMK Ke-5 sejak Perdana Menteri (PM) Ke-4, namun hingga kini hampir mencapai RMK Ke-12 di bawah PM Ke-7 yakni mendekati 30 tahun, tetapi dampak pembangunannya masih belum terzahir.
“Kuala Krai merupakan pintu masuk utama selepas Daerah Gua Musang. Lantaran itu di peta nurani rakyat yang pulang setiap kali musim perayaan, kesesakan ataupun ‘traffic jammed’ paling teruk akan dirasai di Kuala Krai.
“Seandainya terlepas ‘bala’ di Kuala Krai hampir keseluruhan kesesakan untuk pulang beraya dikira selesai. Orang Kelantan kata “bereh”. Kami merasa bagai dianaktirikan, lebih perit tidak hanya berhenti sebagai anak tiri, tetapi terkadang semacam dikucilkan, malah terbiar tandus tanpa terbela.
“Tentunya besar harapan kami agar kerajaan baru ini berpaling, jenguk dan tengok-tengoklah kami. Pastinya pula kami memerlukan jajaran baru yang kalau pun tidak lebih daripada yang lain, paling tidak sama seperti di tempat-tempat yang menerima manfaat pembangunan tersebut.
“Nyatanya pembinaan sebuah lebuh raya mampu memberi sedikit keselesaan kepada penduduk Kuala Krai secara khusus dan juga kepada Negeri Kelantan secara umumnya,” kemuka beliau semasa membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.
Pembangunan Luar Bandar
Jelas beliau, selain daripada lebuh raya, beberapa pembangunan infrastruktur juga amat-amat diperlukan, termasuk penyelenggaraan sesetengahnya yang tidak begitu memuaskan sebagaimana contoh kilometer 11 Jalan Dabong – Sungai Sam.
Katanya, sudah agak lama aduan dibuat oleh pelbagai pihak tetapi masih tidak diselenggara dengan baik di mana jalan tetap rosak seperti biasa, selain Daerah Dabong salah satu Dun dalam Kuala Krai juga amat-amat memerlukan stesen minyak.
Hal itu kerana maklumnya, jarak Dabong dengan stesen minyak terdekat iaitu Pekan Laloh dan juga Jeli sekitar 40 kilometer perjalanan yang disebabkan oleh ketiadaan balai bomba, namun terbaharu balai bomba sudah pun dalam pembinaan.
“Oleh itu saya mengharapkan untuk pembinaan infrastruktur di kawasan luar bandar seperti ini agar agensi Kerajaan Pusat khususnya di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar seperti KESEDAR dan lain-lain lagi perlulah dan amatlah perlu diperkasakan agar dapat berperanan dengan sebaik mungkin untuk kebaikan rakyat seluruhnya,” seru beliau.
Beliau turut menarik perhatian dewan terhadap kelulusan pembinaan jambatan menghubungkan Pasir Kelang dan Kuala Nal di Kuala Krai oleh kerajaan sebelum ini yang diharap akan diteruskan oleh kerajaan baharu.
Ustaz Abdul Latiff amat berharap hal tersebut tidak menjadi omongan kosong dan bukan pula janji palsu, kerana terbinanya jambatan itu akan memudahkan penduduk Pasir Kelang bahagia dan sekitar yang berada di seberang Sungai Kelantan berhubung dengan tanah besar Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 31/7/2018
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/7597-jajaran-jalan-baharu-dan-lebuh-raya-di-k-krai