Home Berita PAS Melaka

JAIM arah henti sementara aktiviti pengimarahan Masjid Kampung Hulu

441
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 30 Jul: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah mengeluarkan arahan agar Masjid Kampung Hulu menangguhkan sementara semua aktiviti pengimarahannya dengan mengambilkira situasi penularan Covid-19 tempatan.

Menurut surat bertarikh 29 Julai yang ditandatangani oleh Ketua Bahagian Pengurusan Masjid JAIM, Mohammad Azli Ab Rahman, penangguhan ini berkuatkuasa mulai semalam sehingga 4 Ogos 2021.

Kata surat itu lagi, aktiviti solat berjemaah dibenarkan namun dihadkan kepada tiga orang jemaah sahaja yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Masjid, sementara solat Jumaat pada hari ini ditangguhkan.

JAIM turut mengarahkan agar penggunaan fasiliti masjid untuk kegunaan orang awam dihadkan dan sebarang aktiviti singgah solat oleh musafir ditangguhkan buat masa ini sementara penduduk sekitar dinasihatkan untuk melakukan solat fardu di rumah.

Tambahnya, aktiviti pengimarahan boleh dijalankan semula bermula solat Subuh pada 5 Ogos 2021 namun ia tertakluk kepada situasi pada masa itu dan arahan yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.