KOTA BHARU, 28 Mac: Forum Cakna Keluarga bertemakan “Anak Soleh Permata Keluarga” anjuran Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) mendapat sambutan 300 peserta di Dewan Besar Balai Islam, Lundang, hari ini.
Antara objektif penganjuran forum tersebut ialah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pembentukan keluarga yang sejahtera, memberi maklumat dan panduan dalam pembentukan sebuah keluarga Islam serta mendedahkan masyarakat tentang hak-hak yang perlu dilaksanakan dalam keluarga untuk mendapat keredhaan daripada Allah SWT.
“Pendekatan kemahiran psikologi dalam kalangan ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan anak dan keluarga yang harmoni”.
Demikian menurut Timbalan Pengarah Operasi JAHEAIK, Dr Hasnan Ramli yang mewakili ucapan penutup Pengarah JAHEAIK, YB Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh dalam program tersebut.
Sementara itu, Musyrif Yayasan Pondok Sungai Durian dan Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dato’ Dr Abdul Basit Abdul Rahman sebagai panel jemputan forum tersebut, turut memberi panduan berkaitan ciri-ciri anak soleh, antaranya ialah sentiasa memberi khidmat kepada ibubapa, menjaga tutur adab dan sentiasa mendoakan mereka.