Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Jaga Niat, Allah Tahu

271 views
SHARE

Jaga niat, Allah tahu

BESUT: Pengajaran dari kisah Peperangan Uhud hendaklah diambil iktibarnya supaya perjuangan menegakkan agama Allah sentiasa berada di atas jalan yang benar dan diredhai serta jaminan pahala.

Begitu juga kisah ketua munafik, Abdullah bin Ubay memberikan cadangan berperang di dalam Kota Madinah ditolak Rasulullah, sebaliknya menerima usulan kumpulan pemuda yang mahu berperang di luar Madinah.

Lalu Abdullah segera menunjuk perasaan dengan menarik 300 askar di bawahnya, menjadikan kedudukan tentera Islam lompang, hasil daripada perbuatan khianatnya itu.

Demikian antara iktibar diperingatkan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hussein Awang ketika menyampaikan syarahan dalam Program Taujihat Pilihan Raya PAS Kawasan Besut malam tadi.

Tambah beliau lagi, keputusan dari Rasulullah itu adalah kerana Allah tahu isi hati kedua-dua mereka, yakni golongan ikhlas dan munafik dalam memberikan idea.

Oleh itu sambung beliau, walaupun Rasulullah sudah tiada, tetapi Allah tetap ada dan Dia Maha Mendengar dan Mengetahui perkara yang ada dalam lubuk hati manusia bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Mengulas berkenaan dengan fitnah oleh Naib Presiden PAN, Dato’ Mahfuz Omar, beliau memilih mengambil sikap berdiam diri kerana jawapan Presiden PAS cukup menjelaskan dan beliau juga tidak mahu ahli hilang tumpuan dengan fitnah itu.

Beliau turut mengecam tindakan SPR kerana telah memutuskan hari pengundian pada hari berkerja dan di tengah-tengah minggu yang disifatkan beliau sebagai perancangan jahat oleh pihak-pihak tertentu.

“Saya seru kepada ibu bapa, kaum keluarga agar memberikan keyakinan kepada anak-anak atau saudara mara, untuk pulang mengundi pada hari tersebut.

“Hadis mengatakan bahawa jika kita mampu, kita mesti membenci dengan kuasa, jika tidak mampu dengan lisan dan selemah-lemah iman iala membenci dengan hati.

“Maka marilah kita zahirkan kebencian kita ini kepada kemungkaran yang dilakukan,” seru beliau kepada semua yang hadir.

Kira-kira 150 orang petugas-petugas pilihan raya PAS dari seluruh Kawasan Besut hadir mendengar taujihat ini bagi dibuat bekalan menghadapi PRU nanti.

Program yang diadakan di Dewan Haji Salleh, Alur Lintang, Besut itu turut dihadiri oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Yang DiPertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad serta mantan calon parlimen Besut, Ustaz Dr Riduan Mohamad Noor.

http://harakahdaily.net.my/index.php/berita/6173-jaga-niat-allah-tahu