Home Berita PAS Melaka

Jadikan self lockdown sebagai uzlah – Aziah Saad

40
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 25 Mei : Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Aziah Md Saad menyarankan agar umat Islam menjadikan self lockdown dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebagai tempoh beruzlah (menyendiri untuk beribadat).

Menurut beliau lagi, setiap keluarga disaran agar merancang jadual harian bersama keluarga dengan pengisian ilmu Islam yang bermanfaat.

“Kita jadikan self lockdown ini sebagai uzlah kita, di samping kita mengasingkan diri daripada orang ramai.

“Kita usahakan uzlah kita dan keluarga dengan memusatkan perhatian ibadat perbanyak zikir dan tafakur kepada Allah SWT,” ujar beliau lagi.

Beliau yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah turut mengajak umat Islam untuk mengambil ibrah (pengajaran) lock down yang berlaku ke atas orang Palestin yang telah berlangsung bertahun-tahun.

“Perdengarkan (ceritakan) kepada keluarga kita susah perit kehidupan saudara-saudara kita di Palestin yang selama ini terpaksa berkurung dalam berhadapan kezaliman Israel,” ujar beliau lagi.

 

Beliau juga menasihatkan agar umat Islam tidak menjadikan rumah seperti kuburan.

“Janganlah jadikan rumah kita seperti kuburan tanpa ada laungan azan dan solat berjemaah sehingga memudahkan bisikan syaitan menyelinap di dalamnya.

“Nanti akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini seperti keganasan rumahtangga, sumbang mahram dan penderaan kanak-kanak,” nasihat beliau.

Tambah Aziah lagi, setiap apa yang berlaku adalah di dalam pengetahuan Allah SWT, dan manusia perlu berusaha dan bertawakal.

“Apa yang paling penting doa adalah senjata orang Mukmin. Jangan kita menjadi sudah terhantuk baru terngadah,” ujar beliau lagi.

Menurut beliau rakyat Malaysia telah melalui lockdown pada PKP 1.0, PKP 2.0 dan pada hari ini menghadapi PKP 3.0 pula.

“Sifat manusia yang mudah lupa dan lalai serta tidak ambil cakna mungkin kerana kematian atau positif Covid-19 bukan berlaku dalam diri dan keluarga kita.

“Marilah kita bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19 bermula daripada rumah kita. Apakah masa boleh diputarkan semula? Barang yang lepas jangan dikenang.

“Mari kita bangkit memperbetulkan kesilapan yang telah kita lakukkan,” ujar beliau lagi ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) pagi tadi.


AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .