Home Berita PAS Kelantan

IWK sedia selenggara tangki septik, elak bau busuk merebak

92
SHARE

KOTA BHARU, 10 Jan: Pengguna domestik disaran mendapatkan segera perkhidmatan mengosongkan tangki septik untuk mengelakkan punca bau busuk di sekitar kediaman pada hari-hari biasa apatah lagi pasca banjir.

Exco Utiliti Negeri Kelantan YB Dato’ Sr Azami Mohd Nor menyeru semua pengguna tangki septik memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bagi memastikan air sisa kumbahan di rumah masing-masing dirawat secara sistematik.

“IWK menyediakan perkhidmatan menyahenap cemar kepada kira-kira 81,275 tangki septik individu serta 259,343 tangki tradisional di seluruh Kelantan dengan tahap piawaian tinggi khususnya dalam usaha pemuliharaan sumber air serta alam sekitar,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Narendram Maniam memaklumkan pihaknya sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik sejak dua tahun lepas sejurus mengambil alih konsesi pembetungan daripada Majaari Services Sdn Bhd.

“Dalam perjanjian dengan Kerajaan Negeri Kelantan, IWK sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dan bersedia melaksanakan Program Khidmat Sosial (CSR) kepada masyarakat setiap tahun sehingga tamat tempoh konsesi pada tahun 2034. Oleh itu, kita minta kerjasama pemilik rumah di Kelantan menjadi pelanggan khidmat pembetungan IWK supaya lebih banyak lagi dana terkumpul yang boleh disumbangkan semula kepada masyarakat yang memerlukan,” jelasnya ketika ditemui dalam Program IWK Cares di Kampung Kolam Gelang Mas, Pasir Mas pada 29 Disember 2022.

Kadar caj perkhidmatan pengosongan tangki septik IWK bergantung kepada jenis dan saiz tangki di rumah anda.

Pelanggan disaran menghubungi terus pejabat operasi IWK terdekat di pautan https://www.iwk.com.my/contact-us untuk mendapatkan maklumat tentang caj perkhidmatan atau menelefon talian 09-747 9505.