Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Isu Palestin : DUPP tegas sejak dulu

199
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT (DUPP)
5 SYAWAL 1442H / 17 MEI 2021M

ISU PALESTIN: DUPP TEGAS SEJAK DULU

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) terus konsisten mencela & menempelak serangan rejim Zionis Israel ke atas Palestin. Pendirian ini masih kekal dan utuh tersemat semenjak semboyan jihad mempertahankan Palestin dilaungkan sedari tahun 1948.

2. Isu kezaliman agama dan penindasan kemanusiaan yang membelenggu rakyat Palestin ini, seringkali didiskriminasikan oleh negara-negara besar dan media-media arus perdana. Kononnya mendabik dada menegakkan hak asasi manusia, tambahan mempertahankan sepenuh jiwa raga hak haiwan yang ditindas. Namun apabila manusia yang dibunuh, diletup dan dilecurkan, diam seribu bahasa!

3. Penegasan mempertahankan Palestin kali ini, merupakan kenyataan DUPP yang ketiga dalam masa terdekat. Hal ini bagi menjelaskan pendirian DUPP dalam mengharungi kemelut isu Palestin.

4. Kenyataan-kenyataan dikeluarkan tidak digegakgempitakan semata, bahkan ianya turut disertakan dengan langkah-langkah proaktif seperti berganding bahu menjayakan kutipan sumbangan secara ‘crowdfunding’ melalui kempen #Aid4Palestine, demontrasi atas talian anjuran bersama NGO-NGO, meneruskan hubungan baik dengan pihak rakyat Palestin melalui program-program bersama antarabangsa dan banyak lagi.

5. Kehairanan timbul tatkala ada segelintir pihak yang menimbulkan persoalan berkaitan di manakah kenyataan DUPP tentang isu Palestin? Barangkali mereka sibuk membaca komen yang karut sehingga tidak sempat meluangkan masa membaca kenyataan media DUPP.

6. DUPP sebelum ini pernah mengajukan usul berkaitan ‘two-state solution’ di Muktamar DUPP yang kemudiannya usul tersebut diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Pusat di Kota Bharu. Usul tersebut menyatakan dengan jelas:

“Mendesak supaya pihak kerajaan Malaysia mengkaji pendirian “two-state solution” dalam hubungan luar kerajaan Malaysia terhadap isu palestin dengan memberi penekanan terhadap sejarah dan nilai agama untuk kepentingan Palestin dan rakyatnya dengan solusi yang adil.

7. DUPP juga ingin menzahirkan kegusaran sekiranya terdapat tangan-tangan ghaib yang membawa inspirasi Zionis Israel di negara ini samada dalam bentuk institusi atau individu melalui pendekatan-pendekatan secara halus seperti penerimaan dana, bantuan, sokongan dan sebagainya . Situasi ini sudah tentu akan membawa ancaman kepada keselamatan negara dan memecah belahkan perpaduan umat Islam di negara ini. Ingatlah peringatan Rasulullah SAW:

عن أبي سعيد رضي الله عنه، أنَّ النبي صلى الله عليه وسلم قال: ((لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُم شِبْرًا بشبْر، وذراعًا بذراع، حتَّى لو سَلَكُوا جُحْر ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ؛ قلنا: يا رسول الله؛ اليهودُ والنَّصارى؟ قال النَّبيُّ صلى الله عليه وسلم: فَمَن؟))؛ رواه الشيخان

Maksudnya: “Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nashrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?”

8. Sehubungan itu, DUPP menyeru seluruh umat Islam untuk terus utuh mengekalkan kekuatan ketumbukan kita bersama, dengan konsisten melaksanakan Doa Qunut Nazilah di dalam solat-solat fardhu sama ada bersendirian, berjemaah di rumah, surau mahupun masjid.

9. Terus berusaha keras untuk merebut peluang memberikan sumbangan kewangan melalui pihak-pihak yang diyakini. Rakyat Palestin sangat memerlukan bantuan kita. Jika tidak berpeluang untuk dimanfaatkan dalam melawan Israel laknatullah, paling tidak bisa membantu mereka untuk membina kehidupan mereka semula.

10. DUPP menyeru rakyat Malaysia keseluruhannya untuk teruskan momentum menyerang Israel secara merendahkan moral dan mental mereka melalui medium maya. Teruskan memberi hujah dan fakta, serta pukulan-pukulan sindiran sebagai tanda solidariti kita bersama terhadap kebencian yang tidak berbelah bahagi ini. Ini salah satu usaha kita atas kesedaran kita. Usah malapkannya.

11. Teruskan membaca dan mengkaji mengenai sejarah negara Palestin bumi anbiya’. Apa sejarah para Nabi utusan Allah disitu. Perkembangannya, bagaimana ianya dikhianati, bagaimana hak mereka dinafikan, bagaimana telah termaktub dan terbukti dalam lipatan sejarah, bahawasanya hanya tatkala agama Islam memerintah sahaja, agama-agama lain akan berada dalam keadaan lestari dan tenteram.

12. Teruskan membaca dari apa jua medium, sama ada buku, pdf, website, internet mahupun media sosial, agar selepas berlalunya isu ini akan datang yang barangkali dilihat tidak ‘trendy’ lagi, kita sudah siap siaga dengan kefahaman yang mendalam. Natijahnya, kobaran semangat kita itu akan terus mekar dek kefahaman yang utuh dan bukan awang-awangan ikutan peredaran zaman semata.

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulama’ PAS Pusat (DUPP)

#Aid4Palestine
#FreePalestine
#PrayForPalestine