SHARE

Isu kalimah Allah : Peristiwa dan kronologi

1. Merujuk kepada  laporan akhbar Berita Harian yang bertarikh 15 Mei 2023 yang bertajuk “Kabinet sudah maklum KDN tarik balik rayuan penggunaan kalimah Allah”.

2. Ini bertentangan dengan titah Sultan Johor dan Sultan Selangor supaya rayu kes Kalimah Allah. Sepatutnya,titah raja-raja Melayu perlu dijunjung sementelah lagi apabila berkaitan agama dan akidah umat Islam.

3. Keputusan kerajaan Madani menarik balik rayuan kes Jill Ireland yang sebelum ini telah membawa masuk bahan yang dilarang iaitu bahan bercetak dan VCD yang terkandung perkataan Allah,Baitullah dan solat yang merujuk kepada agama bukan Islam yang kononnya bertujuan untuk pendidikan agama Kristian, membuktikan kegagalan dalam mempertahankan kesucian Islam.

4. Terdahulu,pihak kastam telah pun merampas cetakan tersebut namun telah dicabar oleh Jill Ireland di Mahkamah Tinggi. Kemudian, keputusan mahkamah memihak kepada Jill Ireland iaitu dengan membenarkan semula beliau mendapatkan bahan-bahan tersebut. 

5. Kementerian Dalam Negeri, KDN pada masa itu telah merayu keputusan yang dibuat itu di Mahkamah Rayuan. Rayuan ini selari dengan titah sultan Johor dan Selangor serta pandangan dari Majlis Agama Islam Selangor. Maka, rayuan ini dijangka didengar di mahkamah pada 19 Mei 2023. Ironinya, secara senyap-senyap kerajaan menarik balik rayuan itu kira-kira sebulan sebelum tarikh pendengaran dijadualkan.

6. Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, DMPNJ menyokong penuh gesaan Majlis Agama Islam Negeri Selangor yang menggesa kerajaan membatalkan penarikan rayuan tersebut demi menjaga kesucian kalimah- kalimah yang khusus merujuk kepada agama Islam dan menghalang kemungkinan penyalahgunaan oleh agama lain.

7. Kami menggesa agar kerajaan Madani tidak memberi ruang toleransi dalam isu ini lebih- lebih lagi bila mana kalimah Allah digunakan dalam  penyebaran seperti VCD dan media cetak lainnya, dikhuatiri boleh mengelirukan umat Islam yang lain terutamanya golongan yang baru mendalami Islam.

NUR QASEDAH NORDIN

Ketua Penerangan

Dewan Muslimat PAS Negeri Johor