Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Israk dan Mikraj : Bukti Kekuasaan Allah سبحانه وتعالى

1607
SHARE

Israk dan Mikraj : Bukti Kekuasaan Allah سبحانه وتعالى

Firman Allah سبحانه وتعالى:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ {1}

Terjemahannya:

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).

Salah satu peristiwa yang berlaku pada bulan Rejab adalah peristiwa Israk dan Mikraj. Israk (dibawa berjalan) bermaksud perjalanan Rasulullah    dari Masjid Al-Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis pada waktu malam.

Manakala Mikraj (dibawa naik ke atas) pula bermaksud perjalanan Rasulullah    dari Masjid Al-Aqsa  ke Sidratul Muntaha untuk menghadap Allah سبحانه وتعالى.

Tujuan peristiwa ini adalah untuk memperlihatkan kepada Rasulullah   akan tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah سبحانه وتعالى.

Allah سبحانه وتعالى mengurniakan kemuliaan ini sebagai hadiah merawat kesedihan  Rasulullah dalam menghadapi ujian dakwah. Rasulullah menyaksikan sendiri akan syurga, neraka dan banyak lagi tanda kebesaran Allah سبحانه وتعالى yang menguatkan lagi hati baginda dalam berdakwah.

Banyak perkara luar biasa yang Rasulullah saksikan lalu disampaikan kepada manusia tentang apa yang dihadapinya seperti yang direkodkan di dalam hadis-hadis sahih baginda SAW  tentang peristiwa ini. Pelbagai respon positif yang baginda terima dan tidak kurang juga sebaliknya.

Di dalam peristiwa penting ini juga, Allah سبحانه وتعالى  memfardhukan solat lima waktu secara langsung yang asalnya adalah sebanyak 50 waktu sehari semalam. Kita sebagai umat Islam haruslah memberi perhatian dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah ‘diringankan’ daripada sudut jumlah rakaatnya ini.

Antara ibrah yang perlu kita hayati bersama adalah:

1. Berpegang bahawa Islam adalah penyelesaian. Kita seharusnya menjauhi ideologi-ideologi yang menyesatkan dengan mempertingkatkan ilmu agama.

2. Bersabar di dalam melakukan gerak kerja dakwah menyampaikan Islam di muka bumi yang sementara ini.

3. Pertahankan aqidah umat Islam dengan mempelajari ilmu yang benar, beramal dengannya, menyampaikannya kepada yang lain serta menjadikan ilmu itu sebagai penyelesaian kepada sesuatu masalah. Wallahu’alam.

“Malaysia Sejahtera”

“Islam Memimpin Wanita Sejahtera”

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Ketua

Dewan Muslimat PAS Malaysia

26 Rejab 1441

21 Mac 2020