Home Artikel PAS Sabah

PAS Sumbang Kanopi Untuk Hospital Keningau

432
SHARE

Oleh : Armain Juhari
21 Mac 2020

KENINGAU : PAS Kawasan Keningau telah memberikan sumbangan beberapa buah kanopi untuk kegunaan sementara pihak Hospital Daerah Keningau yang merupakan salah satu usaha untuk membantu pihak hospital menangani wabak Covid19 ketika ini.

Seawal jam 7.30 pagi pada hari ini, petugas-petugas PAS Keningau telah bertungkus-lumus mengangkat dan memasang beberapa kanopi tersebut mengikut cadangan pihak hospital.

Petugas-petugas yang terlibat turut mengambil berat aspek penjagaan diri seperti memakai topeng muka dan mencuci tangan setelah melaksanakan tugas.

Bendahari PAS Keningau, Abdul Muein Mohd Noor menyatakan bahawa pemasangan kanopi ini sepatutnya dilaksanakan semalam tetapi ditunda ke hari ini atas sebab keselamatan dan kesediaan pihak hospital.

Yang Dipertua PAS Keningau, Abdul Hisham Othman yang turut hadir memaklumkan bahawa PAS sedang berusaha mengumpul sumbangan makanan dan minuman untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan sebagai tanda kebersamaan seluruh ahli parti dalam usaha menangani wabak Covid19 ini.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khasnya penduduk Keningau agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dan berada di rumah masing-masing. Ini bagi memastikan rantaian virus Covid-19 ini dapat diputuskan.” Tambah beliau.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua petugas kesihatan, pasukan keselamatan, imegresen, penjawat awam yang terlibat dalam operasi ini serta kepada kerajaan atas tindakan pantas dalam mengekang wabak Covid-19

Semua petugas berjaya menyiapkan pemasangan kanopi sekitar jam 11.30 pagi. Turut hadir bersama hari ini juga beberapa ahli jawatankuasa serta ahli PAS Keningau.