Home Minda Presiden

Israel dibantu mengganas, Palestin pula dipujuk berdamai

357
SHARE

Minda Presiden PAS

ISRAEL DIBANTU MENGGANAS, PALESTIN PULA DIPUJUK BERDAMAI


Kumpulan Yahudi Zionis yang merupakan kelompok paling fanatik perkaumannya sejak zaman dahulu sehingga kini, telah menubuhkan negara haram Israel secara rompakan bumi Palestin. Pada masa yang sama, menghalau dan membunuh penduduk asalnya dengan bantuan negara besar penjajah dahulu.

Kelayakan untuk menjadi warganegara yang istimewa mereka hanyalah dengan syarat berasal daripada bangsa berketurunan Yahudi yang kekal menganut agamanya sahaja. Mereka datang daripada seluruh pelosok dunia.

Negara haram yang bercita-cita besar ke arah pembentukan sebuah Negara Agung Israel (The Greater Israel) dengan status kuasa besar tunggal, terus melangsungkan agenda keganasan mereka sejak ia mula ditubuhkan sehingga kini. Namun, mereka tetap diberikan sokongan secara bertali arus oleh kuasa besar dunia dari segi diplomatik, politik, ekonomi dan persenjataan termasuk senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa.

Segala tindakan mereka yang melampau itu mengatasi undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Sehinggakan, segala keputusan yang mengutuk tindakan mereka dapat dipadamkan oleh kuasa veto negara kuasa besar yang melindunginya.

Penduduk Palestin yang setia kepada agamanya dan mempertahankan tanah suci Palestin khususnya Bait al-Maqdis dan Masjid al-Aqsa terus menjadi mangsa kezaliman yang melampau. Mereka bukan sahaja dibunuh atau terpenjara dalam penjara kecil dan besar, malah dirobohkan rumah kediaman dan rumah perniagaan mereka. Bahkan, dimusnahkan juga segala tanaman dan kebun yang telah diusahakan sejak turun-temurun beberapa generasi sebelum kedatangan bangsa Yahudi.

Propaganda negara bangsa Yahudi ialah suatu pembohongan yang besar. Hal ini demikian kerana, pada mulanya mereka diperintahkan supaya menegakkan agama Allah SWT berpandukan Kitab Allah Taurat yang diwahyukan kepada Nabi Musa AS.

Seterusnya, perjuangan Baginda AS disambung oleh para anbiya’ bersama para ulama’ yang setia. Perjuangan diteruskan bukan kerana semangat kebangsaan Yahudi, tetapi meneruskan perjuangan Islam oleh Nabi Ibrahim AS yang berhijrah ke bumi Palestin. Allah SWT berfirman:

﴿مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ٦٧ إِنَّ أَوۡلَى ٱلنَّاسِ بِإِبۡرَٰهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا ٱلنَّبِيُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۗ وَٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٨﴾

“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia ialah seorang yang tetap atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah daripada kalangan orang-orang Musyrik. (67); Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong buat sekalian orang-orang yang beriman. (68).” (Surah Ali ‘Imran: 67-68)

Bangsa Yahudi itu sendiri dilaknat oleh Allah SWT kerana penyelewengan mereka daripada agama-Nya serta kezaliman mereka terhadap para anbiya’ dan ulama’ yang soleh daripada kalangan bangsanya sendiri. Perkara ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿…وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ٦١﴾

“…Lalu mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, serta sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka pula membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Demikian itu (terjadi) disebabkan mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 61)

Bangsa mereka dihukum oleh Allah SWT, apabila dihalang daripada memasuki bumi Palestin kerana telah menolak perintah-Nya agar berjihad bagi menegakkan Islam. Begitu juga disebabkan mereka mengingkari dan mengkhianati Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS. Hal ini dinyatakan melalui firman-Nya:

﴿قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَآ أَبَدٗا مَّا دَامُواْ فِيهَا فَٱذۡهَبۡ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَٰتِلَآ إِنَّا هَٰهُنَا قَٰعِدُونَ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَآ أَمۡلِكُ إِلَّا نَفۡسِي وَأَخِيۖ فَٱفۡرُقۡ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيۡهِمۡۛ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗۛ يَتِيهُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ فَلَا تَأۡسَ عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٦﴾

“Mereka (menolak dengan) berkata, ‘Wahai Musa! Sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasuki negeri itu (bumi Palestin) buat selama-lamanya, selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah kamu bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami hanya duduk menanti di sini sahaja.’ (24); Nabi Musa (merayu kepada Allah) dengan berkata, ‘Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasiq itu.’(25); Allah berfirman, ‘(Jika demikian) jika sesungguhnya negeri itu diharamkan ke atas mereka memasukinya selama 40 tahun, (selama itu) mereka akan merayau-rayau kebingungan (sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai). Maka, janganlah kamu berdukacita terhadap kaum yang fasiq itu.’ (26)” (Surah al-Ma’idah: 24-26)

Kedatangan mereka pada hari ini atas semangat kebangsaan Yahudi adalah diharamkan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, ia dihalalkan oleh penguasaan mereka dengan pengaruh kekayaan terhadap negara besar melalui rasuah dan media sesat yang mendukung perjuangan yang zalim itu.

Firman Allah SWT:

﴿وَتَرَىٰ كَثِيرٗا مِّنۡهُمۡ يُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ٦٢ لَوۡلَا يَنۡهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّٰنِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ عَن قَوۡلِهِمُ ٱلۡإِثۡمَ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَصۡنَعُونَ٦٣﴾

“Dan kamu akan melihat kebanyakan daripada mereka (orang Yahudi) berlumba-lumba dalam melakukan dosa dan pencerobohan (melampau) serta memakan daripada perkara yang haram (riba dan rasuah). Demi sesungguhnya! Amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan. (62); Alangkah baiknya, jika ketua-ketua agama dan pendeta-pendeta mereka, melarang mereka daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan daripada memakan daripada perkara yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. (63)” (Surah al-Ma’idah: 62-63)

Tindakan zalim di luar sifat perikemanusiaan dan melampau terhadap hak asasi manusia dilakukan dengan mendapat perlindungan kuasa veto negara besar yang membatalkan setiap hukuman oleh pertubuhan antarabangsa terhadap Israel.

Malah, mereka langsung tidak boleh diseret ke Mahkamah Antarabangsa walaupun telah melakukan suatu jenayah yang paling ganas kerana berpegang kepada undang-undang jakun di rimba tanpa prinsip keadilan sejagat yang dibangga-banggakan oleh kuasa besar. Walhal, masing-masing terus berpegang kepada dasar penjajahan mereka.

Malangnya, itulah negara negara Barat yang kononnya digelarkan sebagai negara yang paling mempertahankan hak asasi manusia dan paling demokratik. Tiba-tiba, apa yang berlaku kini mengesahkan keganasan negara haram Israel, bersama sokongan yang bertali arus bagi mempertahankan dan melindunginya atas nama keamanan yang palsu.

Negara haram tersebut dibenarkan memiliki senjata pemusnah yang diharamkan sejak penubuhannya atas nama keselamatan dan keamanan dunia. Adapun negara di sekelilingnya pula diharamkan memiliki sebarang senjata, sehinggakan kemajuan teknologi yang boleh mengatasinya turut disekat sekalipun bukan untuk tujuan persenjataan.

Dalam pada itu, para saintis dan ilmuwan yang hebat pun boleh diculik dan dibunuh semata-mata demi memastikan keselamatan Israel.

Negara haram Israel dibenarkan membina penjara besar bertujuan mengurung rakyat asal Palestin dengan mudah, setelah rumah mereka dirobohkan bagi membina penempatan kaum Yahudi yang dibawa masuk dari luar. Hal ini adalah semata-mata bagi meneguhkan negara kebangsaan Yahudi yang paling fanatik dalam sejarah manusia.

Adapun para pejuang Palestin yang menghadapinya dengan batu dan pisau sahaja turut diletakkan dalam senarai pengganas. Jika ada mana-mana-mana negara mahupun pertubuhan yang membantu rakyat Palestin dari segi kemanusiaan sahaja, turut dimasukkan dalam senarai pengganas.

Benarlah firman Allah SWT terhadap mereka:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ٢١ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّٰصِرِينَ٢٢﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur (ingkar) akan ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi dengan jalan yang tidak dibenarkan, serta membunuh orang-orang yang menyuruh manusia supaya berlaku adil, maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (21); Mereka itulah orang-orang yang telah rosak (pahala) amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka sekali-kali tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan. (22)” (Surah Ali ‘Imran: 21-22)

Sudah terang lagi bersuluh menunjukkan apa yang diinginkan adalah penyelesaian yang zalim dan hina dari segi moral kemanusiaan. Cadangannya hanyalah bagi memperbodoh masyarakat antarabangsa, apabila negara haram yang ganas itu dibantu dan sebaliknya yang menentang mereka pula dipujuk untuk berdamai.

Lebih menarik lagi adalah betapa mereka tidak merasa malu dan langsung tidak mempunyai maruah kemanusiaan yang berakal dan bermoral. Oleh yang demikian, apabila rakyat Palestin yang dizalimi sebegitu rupa menghadapi keganasannya dipujuk supaya bukan sahaja berdamai dengan Israel, bahkan sehingga didesak agar melakukan normalisasi terhadapnya.

Penyelesaian secara normalisasi supaya menyerah kalah dikemukakan selepas gagalnya cadangan untuk mewujudkan dua negara (two-state solution) yang pernah dicadangkan kepada Palestin supaya mengiktiraf negara haram Israel. Akan tetapi, Zionis pula sekali-kali tidak mahu melayan dan juga tidak mahu mengiktiraf hak rakyat Palestin.

Pada masa yang sama, diberikan peluang untuk mengisytiharkan Bait al-Maqdis menjadi ibu negara haram Israel itu dengan tawaran rasuah termahal kepada Palestin supaya berpindah ke tempat lain. Kini, Masjid al-Aqsa diceroboh oleh pelampau Yahudi yang dilindungi pula oleh angkatan bersenjata yang mengganas, sehinggakan saban minggu mengorbankan para syuhada’ yang tidak pernah menyerah kalah.

Rasulullah SAW telah menyatakan mukjizat ilmunya daripada Allah SWT bagi membinasakan kaum Yahudi yang zalim pada akhir zaman dengan lahirnya kumpulan yang muncul menghadapi mereka. Hal ini disebutkan melalui sabdanya:

“لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌ظَاهِرِينَ ‌عَلَى ‌الْحَقِّ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمُ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَائِهِمْ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِك.”

“Akan tetap ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan menegakkan kebenaran daripada Allah; mereka dimenangkan ke atas musuh mereka (tidak boleh dihapuskan oleh musuh mereka); dan mereka tidak boleh dimudaratkan oleh penentang mereka, namun mereka dihimpit dengan tekanan dan berjuang sehingga datang ketetapan Allah (Hari Kiamat); dan mereka tetap berada dalam keadaan yang demikian itu.”

قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟

Lalu, para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW: “Di manakah mereka berada?”

قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.”

Rasulullah SAW bersabda: “Di Bait al-Maqdis dan di sekitarnya.” (Riwayat Ahmad 22320 dan al-Tabrani 7643)

Allah SWT memberikan amaran kepada mereka yang berpihak kepada golongan yang zalim melalui firman-Nya:

﴿وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ١١٣﴾

“Dan janganlah kalian cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kalian berlaku demikian), api neraka akan membakar kalian, sedang kalian tidak ada sebarang penolong pun selain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kalian itu), kalian tidak akan diberikan pertolongan.” (Surah Hud: 113)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 Zulqa‘dah 1443 / 9 Jun 2022