Home Artikel PAS Melaka

Islam untuk semua bangsa – YDP PAS Tangga Batu

490
SHARE

 

Oleh : Kamil Saufee

TANGGA BATU, 19 Julai : “Islam bukanlah suatu bangsa atau khusus untuk sesuatu kaum, tetapi Islam adalah agama untuk semua bangsa.”

Demikian dinyatakan Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin ketika menyampaikan penerangan tentang ‘apa itu parti PAS?’ dalam satu forum sebelum majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIC di Taman Seri Krubong, di sini, semalam.

Menurutnya lagi, sebagai seorang muslim, Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW harus dijadikan sebagai panduan bagi menjalani kehidupan seharian.

Tambah Bakri lagi, meskipun menjadi seorang yang beragama Islam, namun menghormati agama dan bangsa lain menjadi satu kewajipan bagi mereka yang beragama Islam.

Beliau turut memetik ayat dalam surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud, ‘Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)’.

Melalui ayat ini beliau menjelaskan bahawa sesuatu bangsa itu tidak boleh hidup hanya dengan bangsa mereka sahaja tetapi perlu juga kepada bangsa lain kerana sesuatu bangsa itu tidak boleh maju hanya dengan bangsa mereka sahaja bahkan setiap bangsa saling memerlukan antara satu sama lain dalam mengatur kehidupan sosial.

“Dalam proses menghasilkan pakaian umpamanya, ia melibatkan berbagai-bagai jenis bangsa manusia dari penanam kapas hingga ke penjual kain dan penjahit baju.”ujar beliau.

Beliau juga menjelaskan bahawa dalam Islam juga dilarang memburukkan agama lain malah perlu berlaku adil dengan semua agama dan kaum lain.

“Islam tidak akan mendiskriminasi bangsa lain bila Islam berkuasa.” ujarnya lagi.

Turut hadir meraikan AGM MIC ini adalah Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tangga Batu, Datuk Wira Abu Bakar Mohd Diah, Setiausaha PAS Kawasan Tangga Batu, Hassan Md Dahan, Ketua Penerangan PAS Kawasan Tangga Batu, Mohammed Saufee Othman dan Ketua Lajnah Perpaduan Nasional, Ramlan Amad.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)