Minda Presiden PAS
ISLAM MENANGANI BENCANA DAN WABAK COVID-19
Islam adalah al-Din iaitu satu ajaran yang sempurna dan petunjuk yang lengkap merangkumi seluruh aspek kejadian alam, termasuk makhluk manusia bermula daripada kehidupan dunia yang sementara sehingga kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Agama menjadi petunjuk bermula daripada alam dunia yang sempit sehingga alam akhirat yang mempunyai keluasan tidak terhingga dan wawasan yang kekal selama-lamanya.
Allah SWT juga telah menetapkan peranan dan tujuan manusia diciptakan, iaitu;
- Menunaikan ibadat iaitu memperhambakan diri kepada Allah SWT dalam seluruh aspek kehidupan mereka dengan melaksanakan syiar ibadat, roh, jasad, akal, harta dan seluruh cara hidup (way of life).
- Mendirikan khilafah iaitu memakmurkan bumi dan mentadbir urusan dunia dengan petunjuk al-Din (Islam).
- Memikul amanah bagi melaksanakan semua perintah Allah SWT yang sempurna.
Dengan sifat fitrah semula jadi yang ada pada diri manusia, ia menjadikan mereka mampu menghadapi cabaran sesama mereka dan makhluk yang lain, serta menggunakan bahan yang ada di atas muka bumi dan alam dunia ini.
Ini mewajibkan manusia mengharungi kehidupan yang penuh dengan ujian. Mereka akan menghadapi keadaan senang dan susah, manfaat dan mudarat serta perasaan rajin dan malas yang ada dalam diri mereka sendiri.
Sehingga menghadapi ujian yang sangat getir, kerana adanya sunnah al-tadafu’ (perlawanan) dan taghyir (perubahan) mengikut pasang surut dan maju mundur dalam perlawanan dan perjalanan hidup yang mencabar.
Maka menjadi tanda kebesaran Allah SWT yang Maha Bijaksana dan Maha Adil dengan menetapkan peraturan kepada manusia melalui perlembagaan dan undang-undang yang menjadi petunjuk dan sempadan sepanjang perjalanan hidup bagi mengawal kejadian alam agar mengikut peranan dan fitrah masing-masing.
Sekiranya manusia yang berakal dan berilmu itu patuh kepada petunjuk, sempadan dan ketetapan daripada Allah Pencipta Alam, nescaya akan memberikan keadaan yang lebih baik kepada mereka, alam sekeliling dan makhluk lain. Syaratnya ialah manusia mesti berperanan mengikut hikmah yang menjadi ketetapan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang memberikan peringatan kepada manusia:
﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ٩٧ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ٩٩﴾
“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. (96); Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada malam hari ketika waktu mereka sedang tidur? (97); Atau patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) merasa aman dari kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98); Patutkah mereka (bersuka ria) merasa aman dari azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman dan azab Allah kecuali orang-orang yang merugi. (99).” (Surah al-A’raf: 96-99)
Firman Allah:
﴿ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ٤١﴾
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah SWT merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum: 41)
Firman Allah:
﴿وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ١٥٥ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ١٥٦ أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ١٥٧﴾
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (155); (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (156); Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (157).” (Surah al-Baqarah: 155-157)
Maka di sebalik setiap bencana dan musibah yang berlaku, manusia perlu bermuhasabah terhadap tindakan mereka sendiri, apabila mereka rakus mengikut hawa nafsu sehingga melanggar sempadan ketetapan Allah SWT. Perbuatan yang menyebabkan kerosakan diri mereka dan alam sekitar bumi tempat mereka berpijak dan makhluk sekeliling.
Ini menunjukkan ada yang melampaui sempadan Allah SWT dengan melewati perkara yang diharamkan bagi diri, jasad, roh, akal, individu, keluarga dan masyarakat serta muka bumi yang luas. Semua perkara yang diharamkan itu mendatangkan penyakit.
Tindakan yang melampau dalam segala aspek kehidupan akan mendatangkan kemudaratan termasuk melampau dalam makan minum walaupun halal, pakaian dan pergaulan di luar tabii, peperangan yang menggunakan senjata pemusanah, serta mencipta dan memakan ubat melebihi dos yang boleh merosakkan.
Melampau juga boleh menyebabkan penyakit kepada diri manusia sehingga berlakunya wabak dan mengakibatkan bencana alam seperti banjir, kebakaran, gempa bumi dan lain-lain.
Firman Allah:
﴿إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ١١﴾
“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah al-Ra’d: 11)
Allah SWT melakukan perubahan laksana pasang surut lautan yang merubah pasir dan pantai. Perubahan dalam stiuasi kehidupan manusia itu berlaku dengan cara yang berikut:
- Apabila Allah SWT menghukum dengan azab-Nya, maka tiada kuasa kerajaan manusia yang dapat menolaknya. Sekalipun kerajaan itu merupakan kuasa besar dunia yang mempunyai bala tentera dan senjata yang paling kuat.
- Apabila ditimpakan bencana wabak penyakit yang tidak diduga dan tidak mampu ditolak.
Islam mengajar penganutnya supaya melakukan muhasabah diri, keluarga dan masyarakat supaya kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat dan melakukan islah (pembaikan).
Dalam masa yang sama, turut mencari jalan dengan menggunakan akal, ilmu dan pengalaman yang dikurniakan oleh Allah SWT, supaya kita mendapat pahala melaluinya dan tidak menambah dosa lagi.
Islam ada petunjuk sendiri dalam menghadapi wabak, contohnya wabak taun dan wabak lain seperti COVID-19 yang melanda hari ini. Pendekatan Islam dalam menghadapi wabak melalui proses mencegah dan merawat dengan berkerjasama dan bertolong-menolong yang termasuk dalam perkara kebajikan yang diberikan pahala. Ini berpandukan firman Allah SWT:
﴿وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ…٢﴾
“Bertolong-menolong dalam perkara kebajikan dan taqwa, jangan bertolong -menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah: 2)
Pencegahan dan rawatan melalui tiga cara yang berikut:
Pertama: Membatasi pergerakan supaya menghalang daripada merebak.
- Mereka yang berada dalam kawasan wabak ditahan daripada keluar.
- Mereka yang berada di luar kawasan tidak dibenarkan masuk.
Sabda Rasulullah SAW:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ.
“Apabila kamu mendengar berita berlakunya wabak, jangan kamu pergi ke negeri itu dan apabila kamu berada di kawasan wabak jangan kamu bergegas keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari 5729 dan Muslim 2219)
Rasulullah SAW juga bersabda dalam riwayat yang lain:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا.
“Apabila kamu mendengar berita berlakunya wabak, jangan kamu pergi ke negeri itu dan apabila kamu berada di kawasan wabak jangan kamu bergegas keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari 5728 dan Muslim 2218)
Kedua: Beriman kepada qadha’ dan qadar dengan penuh kesabaran setelah berikhtiar.
Allah SWT menceritakan perihal kaum Yahudi yang tidak bersabar menghadapi ujian wabak, lalu melanggar petunjuk Allah SWT yang melarang mereka daripada keluar:
﴿أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ خَرَجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ حَذَرَ الْمَوْتِ فَقَالَ لَهُمُ اللَّهُ مُوتُوا ثُمَّ أَحْيَاهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ٢٤٣﴾
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang keluar dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu (jumlahnya) kerana takutkan mati; maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu”, kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah al-Baqarah: 243)
Rasulullah SAW menasihati umatnya sebagaimana sabda Baginda:
أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، لَيْسَ مِنْ أَحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبً، يَعْلَمُ أَنَّهُ لاَ يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ شَهِيدٍ.
“Wabak adalah azab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah menjadikannya sebagai rahmat kepada orang-orang yang beriman (supaya sedar dan bertaubat). Tiadalah seseorang yang berada dalam keadaan berlakunya wabak, lalu dia bersabar dan percaya kepada Allah bahawa musibah itu diketahuinya adalah ketentuan Allah melainkan diberikan kepadanya kelebihan syahid.” (Riwayat al-Bukhari 3474)
Ketiga: Rawatan dengan pelbagai cara dan pendekatan.
Bukankah Islam telah mencipta tamadun dunia, termasuk dalam ilmu perubatan yang masih disimpan oleh seluruh dunia yang menyambung hasil kajian yang tersurat dan tersirat. Tetapi Barat yang telah memisahkan sains daripada hidayah agama. Mereka telah melampau dengan hanya mencari keuntungan diri lebih daripada bercirikan kemanusiaan.
Bagi membetulkan keadaan ini, pertubuhan Islam seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan organisasi lain juga mesti berperanan dengan berkerjasama dan bertolong-menolong dalam perkara kebajikan.
Ada negara yang terlalu kaya sehingga tidak tahu mengurus kekayaannya. Bahkan ada negara yang mempunyai kepakaran dalam kalangan rakyatnya tetapi mereka berada di negara lain bukan di negara sendiri.
Maka hentikan krisis politik dan polemik yang merugikan umat. Turun ke padang dunia, buktikan bahawa Islam boleh menjadi petunjuk dan penyelamat kepada semua manusia.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Rabiul Awwal 1442 / 18 Oktober 2020