Home Minda Presiden

Islam dahulu menentang penjajah, Islam juga penutup zaman

397
SHARE

Minda Presiden PAS
ISLAM DAHULU MENENTANG PENJAJAH, ISLAM JUGA PENUTUP ZAMAN

Kedatangan penjajah ke dunia Islam adalah kesinambungan daripada Perang Ahzab dan Perang Salib yang pernah berlaku dahulu. Justeru, kumpulan Islam terus menjadi sasaran utama mereka, pada masa yang sama kumpulan Islam jugalah yang menjadi barisan hadapan bagi menentang para penjajah itu.

Walau bagaimanapun, kumpulan Islam akhirnya berjaya memperoleh kemenangan. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ١٠٩ 

“Sebahagian besar dalam kalangan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kalian menjadi kafir setelah kalian beriman, kerana dengki yang timbul dalam diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah mereka, sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 109)

Golongan penjajah sebenarnya mengetahui kebenaran Islam yang telah disebutkan dalam semua kitab suci, namun mereka tetap menolak akan kebenarannya kerana jolokan nafsu mereka yang rakus. Allah SWT memerintahkan supaya kumpulan Islam tetap bersabar dan mesej Islam untuk menyelamatkan manusia wajib diteruskan dengan penuh kesabaran.

Firman Allah SWT:

وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّى يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا…٢١٧

“Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kalian sehingga mereka (mahu) memalingkan kalian daripada agama kalian (kepada kekufuran), seandainya mereka sanggup (melakukan yang demikian)…” (Surah al-Baqarah: 217)

Peperangan menentang Islam tidak pernah dihentikan sekali-kali. Namun, mereka mengakui bahawa kumpulan Islam tidak mampu dikalahkan oleh mereka selagi cahaya ajaran Islam yang ada dalam al-Quran itu gagal dihapuskan. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ٩

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr: 9)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨﴾ [الصف: 8]

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”. (Surah as-Saff: 8)

Sejarah yang sebenar tidak akan dapat dipadamkan sekali-kali, bahawa kumpulan Islam yang dipimpin oleh para pemimpin, raja yang alim dan para ulama’ yang mewarisi ajaran para rasul dan perjuangannya bangkit menentang penjajah sejak awal lagi. Dan mereka tidak akan pernah menyerah kalah untuk selama-lamanya.

Islam datang ke setiap negerinya termasuk di Nusantara ini dengan berdaulat. Bukan sahaja rakyatnya menganut Islam, bahkan pemimpin dan rajanya juga memerintah berpandukan syariat Islam yang sempurna.

Petunjuk Islam yang sempurna berjaya mencipta Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam) iaitu tamadun bersama hidayah. Bukannya melahirkan Islam Hadari iaitu satu konsep yang menghanyutkan Islam tanpa istiqamah dan tanpa pelaksanaannya secara sempurna dan menyeluruh. Allah SWT memberikan peringatan melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ٢٠٨

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kalian menuruti jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kalian.” (Surah al-Baqarah: 208)

Terlalu banyak hasil karya ilmuwan Islam yang dirompak, dimusnahkan mahupun dicuri, manakala sebahagiannya juga banyak disimpan di negara-negara Barat. Hasil kajian ilmuwan Islam yang dicuri itu menjadi permulaan kepada Tamadun Barat yang berada pada zaman kegelapan (The Dark Ages), namun mereka tersesat kerana memisahkan ketamadunan daripada agama. Sehinggakan, hari ini Tamadun Barat membakar diri sendiri.

Mereka mengetahui bahawa rahsia ‘izzah (keperkasaan) umat Islam terletak pada ajarannya yang sempurna. Oleh itu, mereka berusaha untuk menghalang Islam yang sempurna daripada kembali berdaulat semula. Maka, gerakan untuk memesongkan perjuangan kemerdekaan dilakukan secara licik dengan mengambil kesempatan daripada kejahilan umat Islam terhadap agama mereka sendiri.

Perjuangan kemerdekaan berdasarkan Islam telah dimusnahkan dalam perjalanannya atau dirancang dengan meletakkan bom jangka selepas meninggalkan penjajah tanah air umat Islam dengan kemerdekaan yang tidak sempurna. Contohnya, penjajah British menyerahkan kemerdekaan Yaman Selatan kepada blok Komunis sekalipun pada zahirnya mereka sangat anti komunis. Hal ini demikian kerana, bagi mereka Islam itu lebih bahaya daripada ancaman Komunis.

Kumpulan Islam yang memulakan perjuangan kemerdekaan dipinggirkan peranannya dalam menuntut kemerdekaan, bahkan turut dinafikan sejarahnya. Kemenangan beberapa parti Islam selepas kemerdekaan secara demokratik dibatalkan oleh rampasan kuasa tentera, dan seterusnya bertukar kepada pemerintahan secara diktator (dictatorship) yang disokong oleh bekas penjajah itu.

Walaupun sangat kuat kedengaran suara mereka kononnya mendukung demokrasi, tetapi peluang untuk memerintah secara demokratik diharamkan kepada Islam. Perkara ini semata-mata tidak mahu memberikan peluang kepada Islam berdaulat semula. Keadaan ini berlaku di beberapa negara, ataupun dinafikan dengan pelbagai bentuk penipuan.

Para pemimpin Islam yang memulakan perjuangan kemerdekaan menjadi mangsa kezaliman pada zaman penjajah, dan mereka berterusan menjadi mangsa selepas penjajah meninggalkan tanah jajahan oleh bangsa mereka sendiri yang jahil atau bersedia menjadi alat kepada penjajah. Malah, ada dalam kalangan mereka yang dibunuh syahid, dipenjarakan dan diasingkan hidup dalam buangan di tempat yang jauh daripada tanah airnya.

Namun, di tempat yang baharu pula mereka menyebarkan cahaya Islam sehingga cahayanya sampai ke seluruh pelosok dunia, termasuklah di negara-negara besar yang pernah menjajah. Bahkan, hingga kini mereka terhegeh-hegeh membawa isu Islamofobia bagi membendung cahaya Islam yang telah menembusi sempadan negara masing-masing, termasuklah di negara komunis yang dikenali dahulu dengan tabir besi yang sukar ditembusi, kini juga berjaya ditembusinya.

Semua perkara yang berlaku merupakan sunnatullah yang ditetapkan kepada Islam, bermula sejak zaman para anbiya’ yang berdepan dengan musuh luar dan bangsa sendiri lagi. Keadaan ini berlaku sebelum manusia memasuki alam akhirat yang kekal abadi nanti. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ٢١٤

“Adakah patut kalian menyangka bahawa kalian akan masuk syurga (secara percuma), padahal belum datang kepada kalian (cubaan) sepertimana yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kalian? Mereka telah ditimpa dengan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan pelbagai ujian), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’ Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah al-Baqarah: 214)

Firman Allah SWT juga:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ١٤٢

“Adakah kalian menyangka bahawa kalian akan masuk syurga, padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) antara kalian, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar?” (Surah Ali ‘Imran: 142)

Dan juga firman Allah SWT:

الم١ أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ٢ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ٣ أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ أَنْ يَسْبِقُونَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ٤

“Alif, Laam, Miim. (1); Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2); Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benar beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. (3); Bahkan, patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu. (4)” (Surah al-‘Ankabut: 1-4)

Dalam pada itu, Allah SWT juga menetapkan senario perjalanan kehidupan manusia secara silih berganti dengan meletakkan Islam dalam pusingan perubahan dunia bagi menguji manusia. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ سُنَنٌ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ١٣٧ هَذَا بَيَانٌ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِلْمُتَّقِينَ١٣٨ وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ١٣٩

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kalian (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) sunnatullah (ketetapan Allah); oleh itu mengembaralah kalian di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul). (137); (Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. (138); Dan janganlah kalian merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kalian berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kalian), padahal kalianlah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kalian orang-orang yang (benar-benar) beriman. (139)” (Surah Ali ‘Imran: 137-139)

Percayalah bahawa tetap ada giliran untuk Islam bangkit ke atas berada di peringkat paling tinggi bagi memimpin dunia semula, setelah beberapa pusingan Islam direhatkan. Pusingan zaman berlaku dengan kehendak Allah SWT kerana alam dunia adalah tempat ujian bagi manusia sebelum mereka memasuki alam akhirat. Firman Allah SWT:

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ١ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا  وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ٢

“Maha Suci Allah, Tuhan yang menguasai segala pemerintahan (dunia dan akhirat); dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); Dialah Tuhan yang telah menjadikan mati dan hidup (kalian) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kalian, siapakah antara kalian yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1-2)

Maka, ternyata melesetnya ramalan terkenal yang dibuat oleh Prof. Yoshihiro Francis Fukuyama (melalui karyanya The End of History and the Last Man) yang menamatkan sejarah dunia dengan demokrasi liberal Barat selepas kejatuhan blok Komunis pada abad yang lalu. Hal ini demikian kerana, cahaya Islam terserlah semula dan ia belum berjaya dipadamkan.

Firman Allah SWT:

وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِنْدَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِنْ كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ٤٧

“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka itu, sekalipun rancangan jahat mereka itu dapat melenyapkan gunung-ganang. (46); Oleh itu, janganlah kamu menyangka Allah memungkiri janji-Nya kepada Rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan. (47)” (Surah Ibrahim: 46-47)

Kini, kita menyaksikan kebenaran firman Allah SWT tersebut selepas kejatuhan Shah Iran yang dilindungi kuasa besar Barat dengan kekayaan dan persenjataannya. Dan terkini mengejutkan kita, apabila Amerika Syarikat yang menggunakan bahan letupan paling berkuasa tinggi untuk meruntuhkan gua sekitar gunung-ganang di Afghanistan, terpaksa lari bertempiaran setelah menghadapi rakyatnya yang dianggap paling miskin kerana masih berserban dan berselipar tanpa memakai kot dan tali leher.

Maka, percayalah bahawa semua penjajah yang bertahan kini, akhirnya pasti akan menyerah kalah kepada kebangkitan semula umat Islam.

Kini, kumpulan Zionis paling kaya di negara haram Israel yang dipertahankan oleh kuasa besar dunia sedang menyaksikan kebangkitan Islam yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:

‌لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌ظَاهِرِينَ ‌عَلَى ‌الْحَقِّ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمُ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَائِهِمْ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِكَ.

“Akan tetap ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan menegakkan kebenaran daripada Allah; mereka dimenangkan ke atas musuh mereka (tidak boleh dihapuskan oleh musuh mereka); dan mereka tidak boleh ditundukkan oleh musuh mereka, melainkan mereka menghadapi kesusahan sehingga datang ketetapan Allah (Hari Kiamat); dan mereka tetap berada dalam keadaan yang demikian itu.”

قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟

Lalu, para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW: “Di manakah mereka berada?”

قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

Rasulullah SAW bersabda: “Di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis (Palestin dan sekelilingnya).” (Riwayat Ahmad 22320 dan al-Tabrani 7643)

Sama-sama kita tunggu dan lihat, kerana janji itu pasti akan berlaku.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 18 Jumada al-Akhirah 1443 / 21 Januari 2022