Home Minda Presiden

Islam Bukan Politik Catur dan Jual Ubat

738
SHARE

ISLAM BUKAN POLITIK CATUR DAN JUAL UBAT


Politik dalam Bahasa Arab disebut ‘Siyasah’, ‘Khilafah’ atau ‘Imamah’ adalah menjadi sebahagian daripada tujuan manusia diciptakan oleh Allah, sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan-Mu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah: 30)

Para ulama’ menafsirkan Khilafah itu bermaksud Siyasah (politik) atau Imamah (kepimpinan negara) yang berkait dengan urusan mentadbir negara dengan segala komponennya, memerintah dan mengurus dengan Islam.

Ayat ini ditafsirkan oleh sabda Rasulullah SAW: 

“Bani Israel di zaman dahulu dipimpin siyasahnya (politik) oleh para Anbiya. Apabila wafatnya seseorang Nabi, Allah menggantikannya dengan nabi yang dilantik (Allah) selepasnya. Akan ada (kalangan kamu) para khalifah (pemimpin) yang ramai”. Lalu para sahabat bertanya: “Apakah suruhan Rasulullah kepada kami?”. Sabdanya: “Tunaikan baiah (janji setia) kamu kepada yang terawal kemudian yang berikutnya. Berilah hak yang wajib ditunaikan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah akan bertanyakan mereka (di Hari Kiamat nanti) berkenaan urusan mereka”.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. meletakkan pemimpin yang adil di tempat pertama daripada senarai mendapat fadilat pada Hari Kiamat dan senarai ahli Neraka terhadap pemimpin yang khianat dan menipu rakyat.

Al-Quran juga melaporkan semua para Rasul A.S. berdakwah menghadapi kerajaan yang menolak Islam di zaman masing-masing, bukan sahaja menyelamatkan aqidah rakyat. Ada kalangan Rasul A.S. yang sempat menegakkan negara dan memimpinnya seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S. termasuk Rasulullah S.A.W. walaupun ramai yang wafat dalam perjuangan tanpa menyaksikan kemenangan perjuangan mereka.

Adapun teori pemisahan politik daripada agama bukan daripada Islam. Teori pemisahan ini dibawa oleh penjajah yang menganut agama Kristian yang diselewengkan daripada Kitab Injil yang telah diubah daripada yang sebenarnya dibawa oleh Nabi Isa A.S.

Allah menegaskan betapa Nabi Isa A.S. berkait rapat dengan Kitab Allah yang diturunkan sebelumnya (Kitab Taurat) dan Rasul Akhir zaman Nabi Muhammad S.A.W, ini dinyatakan dalam firman Allah SWT:

“Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah (Rasul) kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad (Muhammad S.A.W).” Maka ketika dia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!” (Surah As-Saff: 6)

Pada asalnya ilmu politik Islam dimasukkan dalam pengajian Feqah, namun di zaman mutaakhir dikaji secara khusus. Imam Al-Ghazali meletakkannya dalam Kitab Aqidah (Iqtisad fi i’ktiqad), Bab Imamah (Kepimpinan negara).

Ramai kalangan ulama menulis secara berselerak dalam Kitab Tafsir, Hadis dan Feqah, namun ada yang menulis kitab secara khusus, di antaranya para ulama Mazhab Syafi’e seperti Al-Mawardi (wafat pada tahun 450H) mengarang kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah, Imam Al-Haramain Al-Juwaini (wafat pada tahun 476H) mengarang kitab Ghiyats Al-Umam dan para ulama daripada semua mazhab juga menulis kitab panduan politik  pemerintahan di zaman dan negeri masing-masing, termasuk Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fatoni meletakkan perkara politik di dalam Kitab Munyatul Musalli dalam Bahasa Melayu Klasik yang terkenal.

Maka mereka yang terlibat dalam politik Islam mestilah mempelajari ilmunya, bukan laksana politik penjual ubat, sekadar mahu melariskan ubat atau sekadar mengumpulkan pelanggan seramai-ramainya berwawasan dunia untuk mendapat kuasa sementara waktu sahaja.

Politik Islam juga tidak boleh dimain catur untuk mencapai matlamat menghalalkan segala cara dan meletakkan Islam sekadar menjadi alat sahaja. Politik Islam bertunjangkan ubudiah kepada Allah, memikul amanah dengan melaksanakan syariat dan berwawasan akhirat, menyelamatkan seberapa ramai manusia dengan petunjuk Allah dan berpaksikan hidayah bukan jibayah.

Hidayah bermaksud meletakkan petunjuk Al-Quran dan Sunnah menjadi panduan, beristiqamah dalam perkara dasar dan matlamat, di samping anjal dalam menangani masalah dan isu semasa yang sentiasa berubah. Jibayah bermaksud matlamatnya kebendaan dan dunia sahaja sehingga tidak beristiqamah dengan petunjuk Allah atau mempermainkannya demi mencapai matlamat itu.

Allah mewahyukan di dalam Al-Quran tentang cerita-cerita iktibar daripada para Rasul A.S. dan penentangnya serta dihuraikan pula dalam Peristiwa Isra’ dan Mikraj apabila ditemukan dengan para Rasul A.S.

Ada kalangan Rasul A.S yang ramai pengikutnya, ada yang bersama pengikut yang sedikit dan ada yang berseorangan tanpa pengikut. Maka Rasulullah S.A.W. menunjukkan ketegasannya kepada Abu Talib (bapa saudara kesayangannya yang sangat berbudi) apabila ditawarkan kerajaan dan harta secara percuma:

“Wahai bapa saudara yang dikasihi! Kalaulah mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (Islam) atau aku mati kerana perjuangannya, nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini”

Dalam masa yang sama, Rasulullah S.A.W. menunjukkan cara politik matang dan sejahtera terhadap kawan dan lawan. Beristiqamah menghadapi rebah dan bangun, pasang dan surut walaupun memakan masa untuk kejayaan yang dijanjikan oleh Allah, sehingga menguasai dunia yang luas selepas kewafatan baginda, bukan di masa hayatnya.

Maka generasi PAS kini yang melangsungkan perjuangan ini, jangan melupai generasi terdahulu yang pernah bergayut dengan hanya satu kerusi Parlimen pada tahun 1951 dan kembali satu pula pada tahun 1986 setelah banyak kerusinya dan memerintah negeri yang dijatuhkan pula, pernah bersama Kerajaan Pusat dan beberapa siri tahaluf dengan parti-parti lain.

Masih banyak pendekatan Politik Islam yang ditulis oleh para ulama’ di dalam kitab mereka dan masih banyak pendekatan yang tersirat di dalam mukjizat ilmu Al-Quran dan kebijaksanaan Sunnah Nabawiyyah. Namun kita mesti teguh dan beritiqamah bersama hidayah dan tidak jumud dengan pendekatan usang tanpa bijaksana dalam menangani perubahan.

Percayalah bahawa PAS tidak mati selagi bersama Islam. Bahkan parti serpihan yang cuba diwujudkan sama ada sudah ditimbus ke liang lahad atau ikan bernyawa yang kekeringan air. PAS bersama Islam yang tidak disembunyikan, tetap teguh dan tidak mungkin dicatur oleh pencatur politik dan dijaja oleh ahli politik penjual ubat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 9 Zulkaedah 1438H / 2 Ogos 2017