Home Berita PAS Melaka

Islam adalah asas kerjasama politik Melayu-Islam – Bakri

124
SHARE

Oleh ANUAR IBRAHIM

TANGGA BATU, 9 Sept: Sebarang kerjasama politik Melayu-Islam mestilah meletakkan Islam sebagai asas, tegas Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Kerjasama ini, menurut beliau, mestilah dilaksanakan di dalam barisan yang tersusun seperti bangunan yang kukuh.

“Pimpinan sebagai tiang seri, manakala ahli berperanan sebagai komponen yang melengkapkan sebuah bangunan yang akan memberikan perlindungan kepada rakyat di Parlimen Tangga Batu,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka itu berkata demikian dalam ucapan ringkasnya di dalam Majlis Bacaan Yaasin dan Silaturrahim PAS dan Bersatu Tangga Batu anjuran Perikatan Nasional (PN) kawasan ini secara dalam talian malam semalam.

Beliau di dalam ucapannya itu turut memetik ayat keempat surah As-Soff yang bermaksud, ‘Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.’

“Sekiranya sebuah bangunan memerlukan acuan simen yang tepat, hubungan sesama manusia pula diperkuatkan dengan ikatan ukhuwah yang mantap,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen pula menegaskan bahawa kerjasama antara PAS dan Bersatu harus diperkukuhkan.

“Kerjasama antara kedua-dua parti akan terus diperkukuhkan dengan meneruskan agenda yang telah dirancang.

“PN juga telah menyumbangkan sebanyak 300 kotak makanan kepada PAS Negeri Melaka sebagai satu komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama Perikatan Nasional,” ujar beliau dalam program yang sama.

Beliau juga menegaskan bahawa teras PN ialah Islam yang mana Parti Melayu Islam menjadi tunjangnya dan disokong dan didukung oleh parti-parti berbilang kaum yang lain.

“Kita juga menyambut baik cadangan dan kerjasama yang akan dijalankan selepas ini,” tambahnya lagi.

Penolong Bendahari PN, Rafie Ahmad yang turut memberikan ucapan di dalam program itu pula berharap agar program-program yang telah dibincangkan akan direalisasikan bersama komponen parti-parti di dalam PN untuk diadakan secara bersama-sama dan berkala.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.