Home Berita PAS Melaka

Isi makna kemerdekaan dengan talaqi bersama ulama – Bakri

61
SHARE

Oleh ANUAR IBRAHIM

TANGGA BATU, 17 Sept: Cara sebenar mengisi makna kemerdekaan ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah swt dengan bertalaqi bersama para alim ulama yang merupakan pencetus kepada gerakan kemerdekaan negara kita.

“Kemerdekaan sebenar bukan bermakna kita bebas melakukan apa sahaja, tetapi kemerdekaan sebenar ialah apabila kita berjaya membebaskan diri daripada kehendak dunia, kembali kepada menjadi hamba Allah.”

Demikian ucapan yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin sewaktu merasmikan Majlis Penutupan Semarak Kemerdekaan 2021, SRITI Al-Fattah, Tangga Batu, secara dalam talian semalam.

“Justeru itu PAS komited untuk mewujudkan SRITI sebagai institusi pendidikan yang mampu melahirkan teknokrat yang berupaya menghafaz Al-Quran dan menjadikan Al Quran sebagai asas dalam melakukan pertimbangan.

“Sudah tiba masanya kita di Melaka untuk memiliki sebuah Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) sebagai kesinambungan kepada tiga buah SRITI yang sudah beroperasi di Melaka,” ujar beliau.

Bakri dalam ucapannya turut mendedahkan bahawa baru-baru ini ada pihak yang sudi mewakafkan tanah untuk diusahakan bagi mengembangkan lagi pengajian agama di kawasan Bukit Rambai.

Sementara itu Pengerusi SRITI Al Fattah,
Ustaz Syed Syazwi Syed Isa dalam majlis yang sama menegaskan bahawa, kecintaan terhadap negara ini perlulah dibuktikan dengan mengamalkan sikap-sikap yang terpuji.

“Sikap yang terpuji ini seperti sentiasa menjaga kebersihan diri, tempat tinggal dan alam sekitar.

“Menjaga SOP di era kita sedang memerangi Covid-19 dan sentiasa saling hormat menghormati antara masyarakat pelbagai kaum dan agama,” ujar Ustaz Syed.

Majlis tersebut diakhiri dengan pengumuman pemenang bagi pertandingan yang dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan.

Pihak SRITI Al Fattah dalam program itu turut mengucapkan tahniah kepada semua murid-murid yang menyertai pertandingan yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.