Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Irsyaadul Mujaahid. Siri 02: Betulkan Niat Perjuangan

169 views
SHARE

Irsyaadul Mujaahid. Siri 02
26 Rabiul Akhir 1439 | 14 January 2018

BETULKAN NIAT PERJUANGAN

Oleh : Nasrudin bin Hassan

1. Ikhlas (niat yang betul dan tulus kerana Allah swt) adalah rahsia antara seorang pejuang dengan tuhannya. Ia juga adalah sumber utama untuk mendapatkan nusrah (pertolongan dan kemenangan) daripada Allah swt.

2. Niat perjuangan yang betul merupakan akhlak pejuang. Malah ia berfungsi sebagai anti virus. Membunuh virus yang terhasil dari sifat mazmuumah (negatif) seperti :

Riya’ (berjuang untuk diperlihatkan kepada awam bahawa ia rajin, berani dll)

Ujub (bangga diri dan rasa hebat kerana banyak menyumbang dan berkorban untuk jamaah)

Hubbu Riyaasah (kemaruk jawatan atau kedudukan sehingga mendorong lobi-melobi, politik cantas, fitnah dll)

3. Tanpa ikhlas atau niat yang betul dalam perjuangan ini, biarpun hebat pengaruh, publisiti yang berjaya dicapai, ia akan memulangkan mudharat besar kepada diri dan jamaah. Paling minima, hilang keberkatan dan kelazatan berjuang, selanjutnya ia mengheret jamaah dalam konflik dalaman dan kemuncaknya ialah Allah swt membatalkan jadual kemenangan.

4. Ikhlas (niat perjuangan yang betul) :

Nawaitu yang jelas.

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى الله و رسوله فهجرته إلى الله و رسوله و من كانت هجرته لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Dari Umar Al Khattab Rha : Aku telah mendengar Rasulullah saw berkata :

Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat. Sesungguhnya ganjaran bagi setiap orang, bergantung kepada apa niatnya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya saw, maka hijrahnya kerana Allah dan RasulNya. Maka barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehinya atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang ia hijrahkan.

Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Tidak bermain alasan.

Firman Allah swt :

لَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَن يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ

Orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

إِنَّمَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَارْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِي رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ

Sesungguhnya mereka yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan orang yang hati mereka (sangat) ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.

Surah At Taubah : Ayat 44 – 45

Bersedia menerima arahan.

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ الطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ أَوْ كَرِهَ إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Dari Abdullah ibnu Umar Rhma bahawa Rasulullah saw telah bersabda :

Satu kewajipan atas seorang muslim mentaati (pemimpin) dalam perkara yang ia suka atau benci kecuali apabila ia diperintah melakukan maksiat. Maka apabila diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.

Riwayat Ibnu Majah.

5. Niat perjuangan yang betul ialah apabila kita berjuang hanya kerana Allah swt. Demi mencari keredhaan Allah swt dan menegakkan Syariat Allah swt di bumi bertuah ini. Bukan kerana nama, pengaruh, jawatan dan projek.

Hadis Rasulullah saw dari Abi Musa Al Asya’ri Rha :

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلذِّكْرِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ فَمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّه

Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw maka ia berkata : Seseorang berjuang untuk mendapatkan ghanimah, seseorang yang lain agar menjadi terkenal dan seseorang yang lain lagi untuk dilihat kedudukannya, maka siapakah yang benar-benar berjuang dijalan Allah swt ? Maka Nabi saw bersabda: “Siapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah, maka dialah yang disebut fii sabilillah”.

Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

PejuangSufi & Haraki

Sekian.

https://www.facebook.com/Irsyaadul-Mujaahid-2030800470510704/