Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Intelektual Dua PhD Bawa Agenda Wanita Sejahtera 

7245
SHARE

Intelektual Dua PhD Bawa Agenda Wanita Sejahtera 

Oleh: Amirah

Intelektual dan berkaliber. Itulah gambaran yang sesuai untuk menggambarkan kredibiliti calon dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura iaitu Dr. Wan Maseri binti Wan Mohd.

Latar belakang akademik beliau yang memiliki dua PhD dalam bidang Pengurusan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Sains Komputer dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) ternyata mengkagumkan. Semasa dalam proses menamatkan pengajian PhD tersebut, beliau turut terlibat dalam membangunkan sistem pengurusan geran penyelidikan bernilai jutaan ringgit untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) .

Kepakaran sosok ini dalam bidang pengurusan dan penyelidikan membuktikan bahawa PAS tidak ketandusan teknokrat yang berkepimpinan untuk memimpin rakyat Malaysia.

Kesibukan Dr Wan Maseri dalam bidang akademik juga tidak pernah membataskan beliau untuk bergerak secara aktif bersama PAS lantas wajar dijadikan contoh buat wanita berkerjaya di negara ini. Realiti ini sekaligus membawa mesej bahawa PAS meraikan sumbangan wanita berkerjaya dalam membangunkan negara.

Sebelum bergelar doktorat, Dr Wan Maseri terlebih dahulu menamatkan pengajian di Peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Komputer di Universiti of Miami, Florida, Amerika Syarikat.

Pada awal karier beliau, Dr Wan Maseri memegang jawatan sebagai Pensyarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan kemudian menggalas amanah sebagai Ketua Unit Management Information System (MIS) di Universiti Multimedia, Melaka. Tidak lama selepas itu, atas kebolehan dan pengalaman yang dimiliki, beliau diberi kepercayaan menjadi Pengarah Pusat Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Ketua Eksekutif UMP Holding Sdn. Bhd..

Kehebatan Dr Wan Maseri dalam bidang kerjaya turut dimanfaatkan dalam organisasi PAS di mana beliau memegang jawatan – jawatan strategik seperti Ahli Jawatankuasa Lujnah Pemerkasaan Parti PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Pemerkasaan Parti Dewan Muslimat PAS Malaysia. Beliau juga merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kuantan serta Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuantan.

Mungkin ada yang pernah menonton pengisian sosok ini tentang nama – nama Allah Asmaul Husna di saluran TV Astro OASIS. Ini kerana beliau merupakan Chairman International University of Asmaul Husna (IUAH). Keterlibatan beliau dalam aktiviti kemasyarakatan juga tidak kurang hebatnya sehinggakan diberi amanah sebagai Pengerusi Rumah Warga Emas Baitul Hanan, Penasihat Rumah Anak Yatim dan Miskin Dynasti, Pengerusi Syarikat 3i Training & Consultancy, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ANNUR3i serta Pengerusi 3i Travel & Services. Beliau juga merupakan Penaung Tahfiz of Asmaul Husna (ITAH). Di samping itu, Dr Wan Maseri seringkali dijemput menjadi penceramah jemputan di masjid dan surau sekitar Malaysia.

Ketika ditemuramah berkenaan masa, beliau meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah dalam mengatur dan mengimbangkan aktiviti seharian. Oleh sebab itu, beliau mengamalkan zikir 99 Asmaul Husna dan munajat hati dalam meneruskan kehidupan seharian. Beliau juga memulakan hari seawal jam 3 pagi dengan berqiamullail dan menyiapkan kerja – kerja penulisan dan kajian pada jam 4.30 pagi.

“Keberkatan masa diperolehi dengan asbab menjaga hak Allah,” ujar beliau penuh keyakinan.

Sebagai calon DUN Inderapura, Dr Wan Maseri berharap agar rakyat Malaysia dapat bersama-sama PAS dalam mewujudkan sebuah negara yang sejahtera di bawah pentadbiran hukum-hakam Allah kerana hanya dengan ketaatan kepada segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya akan terwujudnya sebuah negara dan masyarakat yang diberkati, dilimpahi rahmat, pertolongan dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Melihatkan kejayaan dan penglibatan aktif beliau dalam pelbagai bidang, Dr Wan Maseri terbukti serba boleh dan amat layak untuk bersama membarisi Kerajaan Teknokrat serta membawa agenda Wanita Sejahtera Suri Hati Negara kelak inshaAllah.