Home Artikel PAS Melaka

Institusi fatwa berperanan elak kontroversi dalam masyarakat dari melarat – TG Zulkifli

242
SHARE

Oleh : Shawal Ahmad

HANG TUAH JAYA, 17 Sept : Institusi fatwa adalah salah satu institusi kerajaan yang amat penting dalam pentadbiran agama bagi membolehkan perlaksanaan hukum-hukum syarak ditegakkan berlandaskan kaedah-kaedah syariah.

Ketua Dewan Ulama PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, antara peranan Majlis Fatwa adalah memberi penjelasan dan kefahaman mengenai fatwa dan hukum syarak kepada masyarakat.

“Fatwa mempunyai peranan yang penting dalam perundangan Islam kerana berfungsi menjelaskan hukum-hukum yang tidak terdapat nas yang jelas kepada masyarakat.

“Oleh kerana tugas mengeluarkan fatwa adalah satu tugas yang besar dan berat, jadi ia tidak dapat lari daripada timbulnya isu dan cabaran yang boleh mencetuskan polemik dan kontroversi yang melarat.” ujar beliau.

Tambahnya lagi, Majlis Fatwa juga berperanan melalui aktiviti dakwah dengan menyampaikan kefahaman yang jelas berkaitan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan memulihkan kefahaman yang menyimpang darinya serta menghidupkan budaya ilmu dan kefahaman islam serta menyebarluaskannya melalui media cetak dan elektronik.

Beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Melaka berkata demikian ketika menjadi panelis dalam program bual bicara ‘100 hari PAS di dalam Kerajaan Negeri Melaka’ yang berlangsung di Ayer Keroh, di sini malam tadi dan telah disiarkan secara ‘live’ di Facebook PAS Negeri Melaka.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)